Buletin

PERODUA TERBANGKAN 15 ATLET MUDA KE TOKYO – SERTAI PERTANDINGAN BADMINTON JUNIOR 3 NEGARA

Seramai 15 bakat muda daripada Program Pembangunan Bakat Badminton (PPBB) Kementerian Pendidikan Malaysia-Perodua kini berada di Tokyo untuk Pertandingan Badminton Junior Tiga-Negara yang diadakan buat pertama kalinya.

Anjuran rakan teknikal dan teknologi Perodua, Daihatsu Motor Company Jepun, pertandingan ini akan menyaksikan atlet murid Malaysia bersaing dengan bakat-bakat muda dari Jepun dan Indonesia yang dicungkil daripada program badminton sama di negara masing-masing.

“Penyertaan Perodua dalam Pertandingan Badminton Junior Tiga-Negara ini akan memperkukuhkan lagi komitmen jangka panjang kami kepada sukan yang begitu dekat dengan hati rakyat Malaysia. Bagi kami, program ini adalah salah satu daripada perancangan kami untuk memberi pendedahan awal kepada atlet muda untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

“Ia juga merupakan inisiatif Tanggungjawab Korporat kami ke arah pembangunan belia dan modal insan Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Pada 24hb Mac nanti, seramai 40 orang murid (15 dari Malaysia, 15 Jepun dan 10 Indonesia), berumur 9-12 tahun akan bertanding di Stadium Nasional Ajinomoto di Tokyo, Jepun.

Ramai daripada bakat muda ini tidak pernah menjejakkan kaki ke luar negara sebelum ini. Mereka sangat teruja dan bersyukur kerana diberikan peluang untuk melawat Jepun. Selain dapat berkongsi pengalaman mengenai badminton dengan kenalan baharu dari Jepun dan Indonesia.

“Bagi pihak Perodua, saya mengucapkan terima kasih kepada Daihatsu kerana menganjurkan pertandingan ini ,  dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas kerjasama mereka dalam membangunkan bakat badminton Malaysia yang akan datang,” tambah Dato’ Zainal.

Pada Oktober lalu, KPM dan Perodua berjaya menamatkan tahun pertama PPBB. Ia melibatkan 2,800 orang murid sekolah rendah, 140 orang jurulatih dan 70 pusat pembangunan badminton di seluruh Malaysia.

Di peringkat profesional pula, Perodua Malaysia Masters, satu pertandingan antarabangsa Badminton World Federation, berjaya diadakan buat kali kedua di bawah nama tersebut pada Januari lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Google ads
Back to top button