HONDA CIVIC HATCHBACK KINI DI MALAYSIA?
Gambar ini mula tular semalam dan dikongsikan ramai peminat Honda di Malaysia. Sekali imbas, nampak biasa. Dua kali tengok, baru perasan, ia adalah sebuah Civic FC hatchback.
Ya. Ia adalah “badan” yang sama dengan Honda Civic Type R FK8. Bezanya, ia dikuasakan oleh enjin yang sama dengan Civic sedan – 1.5 turbo L15B. Agak aneh juga melihat kelibat kereta ini di jalanraya Malaysia.
Sebelum nombornya kami tutup, suka untuk kami beritahu bahawa ia memang datang dengan pendaftaran nombor Kuala Lumpur.
Jika kereta ini ditemui di Johor dengan nombor pendaftaran Singapura taklah pelik pun sebab memang ia dijual secara rasmi di Singapura. Begitu juga dengan Thailand. Kedua-dua negara negara jiran kita menawarkan model ini di pasaran mereka.
Jadi persoalannya. Adakah Honda Malaysia membawa masuk model ni?
Jelas, jawapannya tidak.
Honda Malaysia tidak pernah membawa masuk model FK7 hatchback ini. Malah, sewaktu kami menanyakan tentang model ini ketika dilancarkan dulu, Honda Malaysia hanya menjawab
“Kami akan pertimbangkan”. Ya. – ia sebenarnya jawapan lembut untuk berkata “tidak”
Jadi, dari mana kereta ini datang?
Kami bertanyakan kepada beberapa kenalan yang terlibat dalam industri kereta recond. Mereka memberitahu memang ada pengimport yang membawa masuk model ini, tapi tak banyak.
Ini kerana selain harganya yang mahal, ia sangat berisiko kerana harga jualannya lebih tinggi dari spesifikasi paling premium yang dijual secara rasmi oleh Honda Malaysia.
Namun ada satu ciri yang lebih daripada spesifikasi tempatan. FK7 dari Jepun ini didatangkan dengan fungsi Honda Sensing, sama seperti yang terdapat pada Honda CR-V, Honda Accord dan Honda Elysion yang dipasarkan oleh Honda Malaysia.
Dan ada juga kemungkinan yang ianya datang dengan transmisi manual.
Jadi adakah ia memang dari Jepun? bukan UK?
Ya, dari Jepun. Sebab jika anda perhatikan dengan teliti, terdapat pelekat di cermin belakang kanan kereta ini yang biasanya menunjukkan kategori kenderaan di Jepun.
Kami cuba memeriksa di laman-laman jual beli utama tempatan sejak semalam dan mendapati tiada lagi model ini diiklankan.
Malah, model lain yang “pelik” seperti Honda S660, Honda StepWGN Spada, Honda Jade 1.5T juga masih boleh didapati dengan mudah.
Kesimpulannya, ini mungkin unit pertama yang dijual atau mungkin satu-satunya FK7 yang ada di Malaysia.
Memang RARE!
*kredit kepada tuan punya gambar