Motosikal

PASUKAN MOTOGP HONDA OBSES DENGAN TOP SPEED – MARQUEZ

Juara bertahan MotoGP, Mar Marquez memberitahu pasukannya kini obses untuk mendapatkan pecutan maksimum di laluan lurus sepanjang musim ini bagi menyaingi pasukan lain terutama Ducati. 

Dalam perlumbaan pembukaan musim di Qatar, jentera Marquez berjaya mencatat kelajuan top speed 351km/j, hampir melepasi rekod yang dicatatkan oleh pelumba Ducati, Andrea Iannone pada tahun 2016.

Harus tahu bahawa tiga daripada lima jentera lumba terpantas ialah Honda yang ditunggang oleh Cal Crutchlow dan Jorge Lorenzo, Ducati (Jack Miller) dan Suzuki (Joan Mir). 

Marquez memberitahu beliau lebih suka berdepan dengan sebarang kesan sampingan akibat peningkatan kuasa berbanding terpaksa bergelut dengan masalah top speed pada tahun-tahun sebelum ini. 

“Sepanjang musim sejuk ini, pasukan Honda memang obses dengan top speed. Mereka tidak boleh terima jika ada jentera yang lebih laju,” kata Marquez. 

Pemenang di Litar Qatar, Andrea Dovisioso sebenarnya tidak tergolong pun dalam kelompok 10 teratas dari segi kelajuan ketika menunggang Ducati. Catatan terbaiknya ialah 346km/j yang meletakkannya di kedudukan ke-11.

Pengarah Ducati, Paolo Ciabatti memberitahu antara sebab kenapa Ducati berada di belakang dari segi top speed adalah kerana perubahan peraturan aerodinamik yang tidak lagi membenarkan penggunaan winglet.

“Tahun lalu, Dovisioso berlumba di Qatar tanpa winglet yang membolehkan anda mendapat pecutan maksimum lebih tinggi.

“Tetapi, dengan peraturan baru kami terpaksa melakukan homolohasi fairing dengan winglet dan anda tidak boleh mengubahnya di beberapa litar tertentu.

“Jadi, kelajuan maksimum jentera kami telah menurun,” kata Ciabatti. 

Google ads
Back to top button