
PETRONAS AUTOEXPERT, CARSOME JALIN KERJASAMA – TAWAR KHIDMAT SELEPAS JUALAN LEBIH KOMPREHENSIF
PETRONAS AutoExpert dan CARSOME Group Inc (CARSOME), platform e-dagang kereta terbesar di Asia Tenggara, telah membentuk satu kerjasama strategik untuk meningkatkan penawaran perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan di seluruh Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, PETRONAS AutoExpert telah dilantik sebagai Panel Bengkel Rasmi CARSOME, manakala CARSOME akan menyediakan latihan, program latihan industri dan tenaga kerja.
Selain itu, CARSOME Academy, institusi latihan automotif bertauliah kumpulan ini, akan bekerjasama dengan PETRONAS AutoExpert dalam Program Perantisan TVET Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi melatih dan memperakui juruteknik mengikut piawaian industri Malaysia.

Fasa pertama kerjasama ini akan menyaksikan perkhidmatan diperkenalkan di 15 lokasi PETRONAS AutoExpert bermula 13 Januari 2025, melengkapkan pusat servis CARSOME yang sudah beroperasi di Ampang dan Petaling Jaya.
Pelanggan boleh membuat tempahan di 15 cawangan ini melalui aplikasi atau laman web CARSOME. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan akses perkhidmatan tetapi juga membolehkan kedua-dua syarikat meneroka segmen pasaran baharu serta memperkukuhkan kehadiran mereka dalam industri automotif.
CARSOME turut bakal menubuhkan pusat pemeriksaan di lokasi PETRONAS AutoExpert terpilih mulai Januari 2025.

Ini membolehkan pelanggan menjadualkan pemeriksaan kenderaan mereka dengan lebih mudah, terutama di kawasan yang tidak mempunyai pusat pemeriksaan CARSOME berdekatan.
Bagi pengusaha PETRONAS AutoExpert, penawaran perkhidmatan tambahan ini membuka sumber pendapatan baharu serta memperkukuh model perniagaan sedia ada mereka.
Menurut Encik Mohd Zameer B Zahur Hussain, “Kerjasama strategik ini adalah pencapaian penting bagi PETRONAS AutoExpert dan CARSOME. Ia bukan sekadar langkah perniagaan, tetapi juga satu janji untuk meningkatkan pengalaman servis automotif ke tahap lebih tinggi.
“Dengan gabungan kepakaran kami, pelanggan akan menikmati perkhidmatan yang lebih dipercayai, kemudahan lebih baik serta ketenangan fikiran setiap kali mereka menghantar kenderaan untuk servis.”
Pengasas Bersama, Pengerusi, dan Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME, Eric Cheng berkata, “Dengan menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang komprehensif serta pusat pemeriksaan tambahan di lokasi PETRONAS AutoExpert terpilih, kami memastikan pelanggan terus mendapat sokongan selepas pembelian.”
Beliau menambah, “Kerjasama ini memberikan kemudahan dan ketenangan fikiran kepada pelanggan kerana mereka boleh mengakses perkhidmatan penyelenggaraan berkualiti tinggi serta pemeriksaan kenderaan di seluruh negara.”