Buletin

CARSOME NAFI MINTA DANA KEMENTERIAN KEWANGAN – KEDUDUKAN TUNAI MASIH KUKUH

Platform e-dagang kereta, Carsome Group baru-baru ini menafikan bahawa ia meminta pendanaan daripada Kementerian Kewangan dan menegaskan bahawa kedudukan tunainya masih kukuh melebihi AS$150 juta (RM690 juta).

Carsome menjelaskan bahawa ia menghantar surat pada 27 Mac lalu sebagai respon kepada sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan bagi menggalakkan penyertaan pelabur institusi tempatan dalam perjalanan pertumbuhannya.

Syarikat itu berkata, ia sentiasa mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan mengenai usaha membina ekosistem bagi meningkatkan hubungan institusi.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome, Eric Cheng berkata, syarikat itu berdepan dengan industri yang berubah dengan pantas.

“Menerusi komitmen kami terhadap kecemerlangan operasi dan pendekatan tertumpu pelanggan, kami bersyukur kerana berjaya mengatasi jangkaan, mencapai pertumbuhan memberangsangkan sambil terus mencatatkan keuntungan.

“Kami berterima kasih di atas sokongan kerajaan terhadap jenama tempatan seperti kami dalam pada syarikat ini berkembang ke peringkat serantau,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada libat urus rutin terbabit, Carsome menjelaskan bahawa  ia sentiasa memperjuangkan pertumbuhan ekosistem syarikat pemula tempatan yang boleh menyumbang ke arah ekonomi serta meningkatkan jumlah bakat digital negara ini.

Tambahnya lagi, ia sentiasa mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan mengenai usaha membina ekosistem dan meningkatkan hubungan institusi.

“Pendekatan ini telah membuahkan hasil, diterjemahkan kepada keuntungan operasi sebagai sebuah syarikat. Ini membolehkan Carsome melepasi sasaran dalaman bagi pertumbuhan margin kasar selain, peningkatan produktiviti setakat suku pertama 2023,” katanya.

Untuk rekod, pendapatan Carsome meningkat 250 peratus pada 2022, dengan bahagian peruncitan yang baru ditubuhkan, Carsome Certified menyumbang 35 peratus daripadanya.

Google ads
Back to top button