
LEAPMOTOR RAIH KEJAYAAN LUAR BIASA, PENGELUAR PEMULA NEV KETIGA TERBAIK
Leapmotor baru-baru ini telah menutup tahun 2024 dengan meraih pencapaian luar biasa apabila berada di tempat ketiga dalam kategori syarikat pemula Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) paling berjaya di kalangan jenama-jenama yang ditubuhkan sejak sedekad lalu.
Leapmotor juga berada di kedudukan ketujuh dari segi jualan apabila dibandingkan dengan jenama-jenama NEV China yang sudah lama berada di pasaran tersebut.
Bukan itu sahaja, Leapmotor International yang merupakan sebuah syarikat kerjasama dengan pegangan 51:49 bersama Stellantis dan ditubuhkan pada Oktober 2023 menunjukkan pertumbuhan pesat dalam strategi pengembangannya di peringkat global.
Kerjasama ini memanfaatkan kekuatan kedua-dua buah syarikat. Ia menggabungkan teknologi inovatif Leapmotor dengan rangkaian dan pengedaran global Stellantis yang ekstensif.

Leapmotor kini berada di lebih 25 buah negara melibatkan rantau-rantau seperti Asia Selatan, Asia Pasifik, Asia Barat dan Afrika, Australasia serta Amerika Selatan.
Disokong oleh rangkaian serta pengedaran Stellantis yang komprehensif, Leapmotor International dan Leapmotor meletakkan sasaran untuk menyerahkan 500,000 unit kenderaan pada tahun 2025.
Dari segi jualan dan penyerahan, Leapmotor mencatat pencapaian yang signifikan pada Disember 2024 apabila berjaya menyerahkan 42,517 unit kenderaan di China.
Angka berkenaan merupakan kenaikan dari tahun ke tahun (YoY) sebanyak 128 peratus.
Selain Keputusan jualan yang positif, Leapmotor juga merekodkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 293,724 unit.
Di peringkat global, Leapmotor International telah mencatat pencapaian yang signifikan apabila menyatakan bakal menubuhkan 410 pusat jualan dan menerima lebih 3,165 tempahan daripada pelanggan.
Dalam perkembangan berkaitan, selari dengan strategi Dare Forward 2030 Stellantis, Stellantis dengan kerjasama Leapmotor International komited untuk memperkasakan aspek mobiliti rendah karbon di rantau ASEAN.
Pelancaran model elektrik sepenuhnya, Leapmotor C10 di rantau ini membuktikan kesungguhan Leapmotor ke arah mobiliti emisi sifar yang digabungkan bersama teknologi termaju.









