Buletin

PEUGEOT 2008 CKD RASMI DILANCARKAN. 1.2 LITER TURBO, VARIAN TUNGGAL, BERMULA RM127K

Pengedar tunggal jenama Peugeot di Malaysia, Bermaz Auto Alliance Sdn. Berhad. (Bermaz Auto Alliance) hari ini melancarkan Peugeot 2008 secara rasmi ke pasaran tempatan. 

SUV segmen B itu menjadi model pemasangan tempatan pertama Bermaz Auto Alliance dan dihasilkan di kilang Stellantis di Gurun, Kedah. 

Bagi memastikannya mampu menawarkan kualiti terbaik, 2008 telah menjalani ujian sejauh lebih 200,000km di atas pelbagai permukaan jalan dan cuaca di Malaysia.  

Hadir dalam satu varian sahaja iaitu 1.2L Allure, 2008 ditawarkan pada harga bermula RM126,753 (tidak termasuk insurans). Ia juga didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau perbatuan sehingga 100,000km, serta servis percuma untuk tiga tahun dan had perbatuan sejauh 60,000km (mana-mana tiba dahulu). 

Model kompak tersebut tampil dengan beberapa warna menarik seperti oren, kelabu, putih mutiara dan hitam. 

Dari segi gayaan luaran, 2008 meneruskan rekaan signatur Peugeot dengan gril kompleks bersaiz besar yang diapit oleh sepasang lampu LED ‘cakar singa’. Bampar hadapan pula dipasang dengan sepasang lampu nyalaan siang (DRL) LED menegak dan kemasan perak pada bahagian bawahnya. 

Melihat dari arah sisi, karekter sebuah SUV diserlahkan menerusi arca roda, roof rails dan perumah cermin sisi berwarna hitam. Penampilan itu disempurnakan lagi dengan penggunaan rim dua tona bersaiz 17 inci. Bahagian belakang pula dipasang dengan lampu LED bersama corak tiga cakar singa. 

Ciri-ciri kemudahan lain yang ada termasuklah kunci pintar, sensor parkir hadapan/belakang, kamera undur dan cermin sisi boleh dilipat secara elektrik bersama pemanas.

Masuk ke ruang kabin, anda dihidangkan dengan susun atur i-Cockpit yang kemas dan elegan. Seperti biasa, ia hadir dengan stereng kompak, head-up display (HUD) 3D dan kluster instrumen yang kelihatan seperti hologram. Ruang tengah papan pemuka pula dihuni oleh skrin infohibur bersaiz 7 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. 

Papan pemuka dibezakan menerusi penggunaan material berkualiti tinggi, suis kawalan seperti piano dan tombol gear berbentuk unik. Tidak ketinggalan, sistem pendingin hawa satu zon, tempat duduk dibalut kulit, brek parkir elektrik dan lampu ambien. 

2008 baharu dikuasakan oleh enjin turbo tiga silinder bersesaran 1.2 liter yang mampu menjana kuasa sehingga 130hp dan tork 230Nm. Kuasa tersebut disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam kelajuan. Pemandu juga boleh memilih mode pemanduan sama ada Normal, Eco atau Sport.

Tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, jentera itu dilengkapi ciri Visiopar 1 yang terdiri daripada kamera 180 darjah, Active Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring, ABS, enam beg udara, Hill Start Assist, ESP dan banyak lagi. 

GALERI

Google ads
Back to top button