PEUGEOT 508 SW PSE – WAGON YANG CANTIK DAN JUGA LAJU
Jujur kata, BK adalah peminat Wagon. Tapi sayangnya pilihan Wagon yang ada di tempat kita hanyalah untuk golongan T20. Golongan B40 macam BK ini, belilah Alza jika teringin sebuah Wagon. Wagon yang dipaparkan ini bukanlah calang – calang. Jikalau kebanyakan Wagon keluarga seringkali ditafsir sebagai lemau, tapi bukan yang ini. Ini adalah Peugeot 508 SW PSE, sebuah Wagon yang cantik dan laju.
Peugeot 508 SW ini sebenarnya merupakan sebuah model tingkat taraf yang telah diberi lencana PSE – Peugeot Sport Engineered. Kerja tingkat taraf ini barangkali ada yang menyangka ianya melibatkan perubahan kosmetik semata. Tapi ini adalah kerja kejuruteraan yang sebenar, bagi membolehkan Wagon yang kelazimannya untuk membawa anak bini ke pusat membeli belah dengan lebih pantas dan tangkas. Membezakan ianya dengan tipikal sebuah Wagon, Peugeot 508 SW PSE ini juga sebenarnya merupakan model plug-in hybrid.
Perubahan yang dilakukan terhadap model PSE berbanding model SW biasa, sudah tentulah pada rekaan bampar hadapan yang kelihatan sangat garang terutamanya rekaan lampu DRL yang menegak bersambung daripada sudut tepi lampu utama membawa sehingga ke bahagian bawah bampar.
Bahagian belakang juga turut menerima sedikit perubahan, terutamanya penggunaan tip ezkos berkembar kiri kanan yang kelazimannya untuk memberitahu orang di belakang bahawa kereta ini bukanlah sembarangan. Paling menarik di bahagian belakang sudah tentulah rekaan lampu LED yang menampilkan bentuk tiga cakaran. Begitu juga dengan logo tiga cakaran tersebut dilekatkan bersebelahan dengan logo 508. Memang nampak garang betul.
Dari segi trenkuasa, ianya boleh dianggap sebagai model Peugeot yang paling berkuasa yang pernah dihasilkan, 360 HP dan 520 Nm. Terima kasih kepada gandingan enjin petrol, motor elektrik di bahagian hadapan dan belakang. Dengan kuasa sebegini, ianya mampu memecut dari titik pegun ke angka 100 km/j hanya dalam tempoh 5.2 saat. Cukup laju untuk sebuah Wagon.
Dan sebagai sebuah model berprestasi tinggi, Wagon ini turut diberikan tiga mod tetapan untuk sistem ampaian, Comfort, Hybrid dan juga Sport. Sistem brek juga turut diberikan penambahbaikan dengan pengguna kaliper brek baharu dan juga cakera brek bersaiz 380mm. Dipadankan pula dengan rim bersaiz 20 inci yang turut dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S.
Pasti ada diantara kita yang akan bertanya nakal, model sebegini untuk apa dicipta laju laju? Wagon kot. Tapi anda jangan lupa. Pemilik Peugeot 508 SW PSE ini bukanlah satu – satunya kereta yang mereka ada. Mereka mungkin punya kereta Sport dua pintu untuk kegunaan harian. Model Wagon ini barangkali hanya dipandu untuk menghantar anak ke sekolah atau pergi ke Giant di hujung minggu. Kau dah biasa pandu kereta laju dan sedap. Tiba – tiba bertukar kereta Wagon yang lemau dan sendu. Tentu rasa nak meradang bukan? Nah, inilah jawapan kepada persoalan tersebut.
BACA : PEUGEOT 508 SW – WAGON CANTIK MACAM UKIRAN SENI
BACA : 508 PSE. JENTERA PEUGEOT PALING POWER. 360PS, 5 MODE PEMANDUAN