Buletin

PEUGEOT 3008 2020, OBJEK SENI ATAU SUV?

SUV merupakan kereta penumpang pilihan ramai sekarang ini. Di antara tawaran yang banyak pilihan menarik ialah SUV segmen C melalui Proton X70, Honda CR-V, Mazda CX-5, Nissan X-Trail, Volkswagen Tiguan dan pelbagai lagi.

Di dalam banyak tawaran tersebut ada tak sesuatu yang berbeza? Ada, SUV buatan Perancis pada harga mampu milik iaitu Peugeot 3008.

Dipasang di Gurun, Kedah dan dijual pada harga RM150,888 dan sesuatu yang membanggakan apabila 3008 turut dieksport ke Filipina.

Peugeot 3008 menawarkan sesuatu berbeza dari segi reka bentuk, bahagian luar dan dalam yang tampil dengan gayaan Perancis. Bukan Itali atau Jerman, tetapi Perancis.

Mula dipasarkan pada tahun 2016, kini tiba masanya 3008 generasi kedua itu menerima pembaharuan supaya kekal relevan dan kompetitif.

Sama seperti sewaktu mula diperkenalkan, 3008 rupa baharu (facelift) ini tampil dengan bahagian depan yang unik dan menyerlah.

Tiada lagi lampu tirus dua bahagian dan diganti dengan rekaan baharu yang lebih besar.Rekaan gril lebih rumit dan mendominasi bampar yang tidak seringkas dahulu.

Dari depan 3008 ini nampak seperti arca atau objek seni yang diukir oleh karyawan. 

Bahagian dalam juga tidak kalah, penampilan i-Cockpit® diserlahkan dengan panel instrumen digital head-up berukuran 12.3 dan skrin sentuh kapasitif berwarna sepuluh inci. 

Duduk di kerusi pemandu terasa seperti kokpit jet pejuang.

Dengan rekaan sebegitu futuristik, 3008 dilengkapi teknologi canggih Night Vision yang membolehkan pemandu melihat pejalan kaki dan haiwan pada skrin digital 12.3 inci sehingga 200 meter melangkaui ruang lampu utama.

Teknologi terkini AEB (Automatic Emergency Braking) pula mampu mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada waktu malam dari kelajuan 3 bsj (4.8 km/j) hingga 86 bsj (138km/j).

Untuk rangkaian kuasa, berikut adalah senarai pilihan bagi Peugeot 3008 2020:

  • HYBRID4 300 e-EAT8: Enjin petrol PureTech 200hp (147kW) dan dua motor elektrik dengan kuasa gabungan 300hp (223kW).
  • HYBRID 225 e-EAT8: Enjin petrol PureTech 180hp (132kW) dan satu motor elektrik 110hp (80kW) dengan kuasa gabungan 225hp (165kW). 
  • 1.2 liter PureTech 130 S&S enam kelajuan manual.
  • 1.2 liter PureTech 130 S&S lapan kelajuan automatik.        
  • 1.6 liter PureTech 180 lapan kelajuan automatik.        
  • 1.5 liter BlueHDi 130 S&S lapan kelajuan automatik.

Dari segi varian pula, 3008 ditawarkan dalam varian Active, Active Premium, Allure, Allure Premium, GT dan GT Premium.

Kepada yang berkenan, Peugeot 3008 2020 ini untuk pasaran United Kingdom dahulu dan masih terlalu awal untuk mengesahkan penawarannya di pasaran tempatan.

Apa pun, Peugeot 3008 2020 memang lawa!

BACA: PEUGEOT EXPERT SPORT EDITION – NAMPAK JAHAT KAN?

BACA: PEUGEOT 508 SW – WAGON CANTIK MACAM UKIRAN SENI

BACA: PEUGEOT 208R2, KERETA RALI ENJIN KECIL 3 SILINDER

Google ads
Back to top button