Buletin

POLESTAR 2: RM277,400 SEUNIT – 408HP, 0-100KM/J KURANG 5 SAAT

Jenama kenderaan elektrik berprestasi tinggi, Polestar akhirnya memperkenalkan model Polestar 2.

Ia merupakan model pertama yang akan menjadi pesaing secara langsung kepada Tesla Model 3. 

Model fastback itu tampil dengan reka bentuk avant-garde untuk mereka yang mahu memiliki sebuah kereta elektrik premium. 

Jentera itu ditawarkan pada harga bermula 39,900 euro (RM184,780) seunit dengan edisi pelancaran yang melibatkan produksi selama 12 bulan berharga lebih mahal iaitu 59,900 euro (RM277,400). 

“Polestar 2 ialah kenderaan elektrik pertama untuk jualan massa kami. Sebagai satu jenama EV berprestasi tinggi, Polestar serius untuk menangani cabaran kualiti udara dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Polestar, Thomas Ingenlath.   

Kereta itu dipacu oleh dua unit motor elektrik dan bateri berkapasiti 78kWh dengan sasaran jarak sejauh 500km.

Rangkaian kuasa yang disalurkan ke sema roda itu berupaya mencecah  300 kW (408hp) dan tork maksimum 660Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa kurang lima saat. 

Dibina di atas platform Compact Modular Architecture platform (CMA) Volvo, ia dapat menurunkan aspek NVH sebanyak 3.7 dB berbanding chasis konvensional. Aspek itu turut dibantu oleh pek bateri yang dipasang pada bahagian lantai. 

Dinamik pemanduan chasis berkenaan ditingkatkan lagi dengan Pek Prestasi yang merangkumi peredam Ohlins, brek Brembo dan rim tempaan bersaiz 20 inci.

Penampilan Polestar 2 diserlahkan lagi dengan gaya signaturnya iaitu tali pinggang keledar, angkup brek dan penutup injap berwarna emas.  

Bukan itu sahaja, ia menjadi antara model terawal di dunia yang menggunakan sistem infohibur dikuasakan oleh Android. 

Sistem itu menawarkan persekitaran digital yang stabil dan mudah diadaptasi dengan aplikasi dan fungsi kenderaan. Ia membolehkan perkhidmatan Google seperti Google Assistant, Google

Maps dan Google Play Store 5 digunakan di dalam kereta buat pertama kalinya menerusi paparan skrin sentuh bersaiz 11 inci. 

Polestar 2 hanya boleh ditempah secara dalam talian. Pelanggan juga boleh melanggan perkhidmatan langganan kereta itu yang dijadual memulakan produksi di China pada awal tahun 2020. 

Antara pasaran terawal yang akan dimasuki oleh Polestar 2 ialah China, Amerika Syarikat, Kanada, Belgium, Jerman, Belanda, Norway, Sweden dan UK. 

GALERI

Google ads
Back to top button