
KELISA K3-VET – BY IMAN GARAGE
Ini antara model Perodua yang cukup liat nak jadi murah. Sampai naik uban janggut menunggu, tapi harga semasanya tetap keras macam tu. Semuanya disebabkan ketiadaan model gantian yang setara, selain jumlah permintaan yang masih tinggi.

Bagus sangat ke?
Benda ni agak subjektif. Selain kecik dan praktikal untuk kegunaan harian, Kelisa juga agak mesra ubahsuai dan boleh digayakan dalam pelbagai cara. Nak layan standard, klasik, moden, JDM semuanya ada. Itu belum kira pilihan enjin yang boleh digunakan. Nak rasa 200km/j atas highway pun mampu…
Iman antara yang masih tegar memperjuangkan kehebatan model ini. Asal pakai sendiri, kemudian jinak-jinak jadi runner. Lepas yakin dengan potensi diri, sesuatu yang dulunya suka-suka kini bertukar menjadi kerjaya sepenuh masa. Siap ada bengkel lagi. Ni namanya belia berwawasan!
Tarikan kereta ini terletak pada senarai aksesori yang digunakan. Biasalah main JDM. Hati kena kental, walaupun harganya memang merepek. Untuk bahagian luar, ia telah disarungkan dengan kit badan Mira Cuore, yang datang bersama skirt versi YMR. Bagi tujuan kelainan, bahagian sisi bumper depan kemudiannya ditebuk untuk menempatkan sepasang spotlight dari Cibie.
Lambakan aksesori krom Mira Cuore, nampaknya telah mendominasi setiap ruang pada kereta ini. Antaranya garnish pada pintu, signal sisi dan lampu belakang, lining bahagian sisi, hood, boot dan cermin depan, panel pilar B, gril depan, bingkai bonet, lampu fender, wiper PIAA, juga cermin sisi Ganador.

Senarai aksesori lain terdiri daripada lampu depan projektor, eyelid, parking pole, sensor undur berlampu, rak bumbung, serta pemasangan unit sunroof Mini Cooper S. Baru belanjer!
Nak lagi belanja, kesemua komponen utama bahagian dalam turut menerima salinan Mira Cuore. Cuma tempat duduk jer pakai set kulit Mira Gino, termasuk Recaro Njoy di bahagian pemandu.
Ada juga sarung tempat duduk Mira Gino, stereng Momo tiptronic, panel dashboard marble, cermin belakang Tiffana, jam gold Deko, sarung payung Daihatsu, perehat tangan belakang, tirai cermin belakang dan hanger belakang Daihatsu.
Sementara gajet elektronik pulak terdiri daripada pewangi Solar Air Compo, penapis udara Smirky, meter Defi, pengawal boost Blitz, AFC Neo Apexi, RSM Apexi serta sistem audio lengkap jenama Kenwood.
Tarikan seterusnya tertumpu di bahagian enjin. Tu dia, sampai seurat wayar pun tak jumpa. Memilih enjin K3-VET sebagai asas, ia telah dicantikkan semula sebelum dibenar masuk ke dalam perut kereta ini.
Disertakan juga beberapa perubahan penting untuk peningkatan kuasa. Antaranya penggunaan unit turbo TD04L, wastegate Turbosmart 38mm, intercooler Apexi, paip intercooler kustom, serta injap pelepas HKS SSQV.

Boost yang terhasil seterusnya dibawa ke unit throttle body 3SZ-VE, yang melekat pada manifold kemasukan kustom. Bagi menggalakkan proses pembakaran, sistem bahan api dibantu pam petrol Evo III, set injektor 3SZ-VE, serta rel bahan api kustom. Sementara kuasa cucuhan pulak, datang dari koil 3SZ-VE dan kabel pencucuh BSI Performance, sebelum ditala menggunakan unit AFC Neo.
Sektor pengendalian menerima set suspensi jenama Greber. Malaysia mari je, tapi memiliki diameter yang jauh lebih besar berbanding standard. Rim pilihan pulak jenis SSR Type F, yang digabungkan bersama tayar Kumho bersaiz 165/50R-15.

Memastikan kuasa hentian yang sempurna, sistem brek dilengkapi komponen brek milik Honda Odyssey untuk depan dan belakang.
Walaupun tak meriah macam Myvi, dunia modifikasi Kelisa tetap berada dalam kelas tersendiri. Saingan pun tak banyak. Hanya mereka yang tegar saja masih kekal bertahan, sekaligus memastikan kelangsungan model ini…
Spesifikasi
Pemilik Suherman (Iman)
Pengeluar Perodua
Model Kelisa
Tahun 2003
Enjin asal EJ-DE 1.0-liter
Modifikasi Enjin K3-VET Daihatsu YRV, turbo TD04L, wastegate Turbosmart 38mm, intercooler Apexi, paip intercooler kustom, injap pelepas HKS SSQV, manifold kemasukan kustom, throttle body 3SZ-VE, pam petrol Evo III, injektor 3SZ-VE, rel bahan api kustom, kabel pencucuh BSI Performance, koil 3SZ-VE
Transmisi Tiptronic
Ekzos D Sport
Luaran Kit badan Mira Cuore, skirt YMR, spotlight Cibie, aksesori krom Mira Coure – garnish pintu, signal sisi & lampu belakang, lining sisi, hood, boot & cermin depan, panel pilar B, gril depan, bingkai bonet, lampu fender, wiper PIAA, cermin sisi Ganador, lampu depan projektor, eyelid, parking pole, sensor undur berlampu, rak bumbung, sunroof Mini Cooper S
Suspensi Greber
Brek Honda Odyssey
Rim & Tayar SSR Type F 15-inci & Kumho 165/50R-15
Dalaman Salinan komponen Mira Cuore, tempat duduk kulit Mira Gino & Recaro Njoy, sarung tempat duduk Mira Gino, stereng Momo tiptronic, panel dashboard marble, cermin belakang Tiffana, jam gold Deko, sarung payung Daihatsu, perehat tangan belakang, tirai cermin belakang, hanger belakang Daihatsu, pewangi Solar Air Compo, penapis udara Smirky, meter Defi, pengawal boost Blitz, AFC Neo Apexi, RSM Apexi, sistem audio Kenwood
Bengkel Iman Garage, Shah Alam
-pak maun-
- BACA: DRIFT BAJET JEPUN, KELISA GUNA PVC
- BACA: WAJAH-WAJAH YANG DILUPAKAN, PERODUA KELISA
- BACA: SEBUAH KELISA DAN CERITA ENJIN YRV
- BACA: KELISA TAK CUKUP PINTU
- BACA: KELISA GINO. THE KING!
- BACA: MODIFIKASI KELISA GINO
GALERI

































