Buletin

POLESTAR UMUM PASARAN DIMASUKINYA – MALAYSIA TIADA DALAM SENARAI

Jenama kenderaan elektrik berprestasi tinggi Volvo Cars, telah mengumumkan pasaran untuk kereta pertamanya, Polestar 1.

Pengumuman itu dibuat berikutan kejayaan pelancaran jenama Polestar pada Oktober lalu yang menyaksikan tempahan untuk melanggan Polestar 1 sangat memberangsangkan. Malah, angka tersebut telahpun melebihi slot pengeluaran awalnya. 

Buat masa sekarang, pasaran yang telah dikenal pasti oleh Polestar ialah Amerika Syarikat, China, Jerman, Sweden, Norway dan Belanda. Polestar juga akan membuka Polestar Space, di mana pelanggan boleh berinteraksi dengan jenama secara lebih dekat.

Polestar Space dijangka dibuka pada pertengahan tahun 2019. Jenama itu akan diperkenalkan di lebih banyak negara nanti.

Sewaktu Polestar dilancarkan, seorang pelanggan didaftarkan pada setiap minit. Mereka menyatakan minat untuk menjadi yang pertama menerima Polestar 1 menerusi satu model langgan serba baharu.

Minat yang dinyatakan di laman web www.polestar.com itu kemudian diterjemahkan kepada tempahan Polestar 1 yang akan dibuka secara rasmi pada awal tahun 2018.

Polestar 1 dan semua model masa depan Polestar akan ditawarkan menerusi langganan. Skim langganan itu tidak melibatkan sebarang deposit. Pelanggan perlu membayar bayaran bulanan yang didatangkan bersama perlindungan insurans.

Lebih menarik lagi, pelanggan terlindung daripada masalah penyusutan nilai. Malah perkhidmatan pengambilan, penghantaran untuk servis dan banyak lagi bakal ditawarkan.

Menjadi model pertama memakai logo Polestar, Polestar 1 ialah sebuah 2+2 Grand Touring Coupé yang dijana oleh rangkaian kuasa Electric Performance Hybrid berkuasa 600hp. Ia mampu bergerak sejauh 150km dengan kuasa elektrik sepenuhnya.

Produksi Polestar 1 akan dimulakan pada pertengahan tahun 2019 di kilang khas Polestar di Chengdu, China.

Google ads
Back to top button