Buletin

KERETA BELUM KELUAR – POLESTAR DAH SIAP UMUM BARANG MODIFIKASI

Rasanya dah banyak artikel dalam Mekanika yang memuji Volvo. Memang layak pun sebab Volvo benar-benar bangkit. Kejayaan Volvo ini selain dinikmati oleh warga kerjanya, turut menerima faedah ialah Polestar.

Polestar dari dahulu memang setia dengan Volvo dan suatu yang menarik apabila badan penala ini bukan dimiliki oleh Volvo. Itu dahulu, Polestar kini sudah menjadi milik rasmi Volvo dan lebih menarik apabila diangkat terus sebagai sub-jenama Volvo dalam menghasilkan kenderaan berprestasi.

Sekarang ini ada projek baharu namanya Polestar Engineered. 

Ceritanya macam ini. Dalam masa beberapa hari lagi Volvo akan melancarkan kereta sedan baharu iaitu S60. Sebelum ini Volvo dah lancarkan banyak model seperti XC90, XC60 dan XC40. Cuma kereta sedan dan wagon agak perlahan iaitu S90 dan V90.

Baru dua model kereta penumpang. Jadinya S60 akan datang ini memang Volvo menaruh harapan di mana tanpa berselindung menamakannya sebagai premium sports saloon. Iya, saingan daripada BMW, Mercedes-Benz, Audi dan Lexus semuanya gempak.

Sebelum S60 dilancarkan, Volvo dah siap-siap umumkan pakej prestasi yang atau Polestar Engineered khusus untuk S60 dengan enjin T8 Twin Engine plug-in hybrid.

Pakej Polestar Engineered ini terdiri daripada brek, roda aloi, suspensi dan unit kawalan enjin (ECU).

Peminat Volvo semestinya mengenali varian R-Design yang biasanya tampil bergaya daripada varian umum. Varian Polestar Engineered ini pula khusus untuk opsyen T8 Twin Engine dan letaknya lebih atas daripada R-Design yang bermakna lebih istimewa daripada istimewa.

Di bawah ialah maklumat tentang Polestar Engineered:

  • Selain S60, Polestar Engineered akan ditawarkan untuk model V60 dan XC60 bermula tahun depan. Ia juga akan ditawarkan di peringkat global dalam unit terhad
  • Angkup brek Polestar Engineered adalah berwarna emas dan identiti baharu untuk jenama ini
  • Brek ini adalah buatan Brembo dengan pad yang lebih tahan panas, cakera brek pula bergaris untuk tujuan yang sama
  • Selain brek berwarna emas, tali pinggang keledar turut menggunakan warna sama sebagai identiti baharu
  • Roda aloi Polestar kini dengan corak baharu dengan rongga lebih besar
  • Identiti lain Polestar Engineered ialah logo dan paip ekzos berwarna krom hitam
  • Penyerap hentak dari jenama Öhlins dengan injap dual-flow yang menjadikan spring lebih keras tetapi pada masa sama mengekalkan keselesaan
  • Strut bar dan penyerap hentak boleh laras berkongsi rekaan yang sama dengan model Polestar 1
  • Talaan ECU menjadikan gabungan kuasa enjin elektrifikasi T8 Twin engine ini kepada 415 hp dan 670 Nm. Kuasa asal ialah 400 hp dan 640 Nm.
  • Selain penambahan kuasa, talaan ECU ini memberikan pengunaan minyak yang lebih baik dan memperhalusi lagi pemilihan gear

Di atas kertas, menarik nampaknya data dan informasi yang diberikan. Teruja juga jika dibawa masuk ke pasaran tempatan untuk mengetahui rasa sebenar kereta Polestar Engineered ini. Berdasarkan pengalaman pandu uji sebelum ini, Volvo generasi terdahulu agak kurang mengujakan dari segi pengendalian.

Mungkin yang ini berbeza. Kita tunggu.

BACA: KERETA BUATAN CHINA LEBIH BERKUALITI BERBANDING EROPAH – VOLVO

Tags
Google ads
Back to top button