
POLIS MASIH TERIMA SURAT ATAU PERMIT PERGERAKAN TAMAT TEMPOH PADA 14 JUN
Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menerima surat atau permit pergerakan pekerja sektor ekonomi perlu yang tamat tempoh pada 14 Jun sehingga sekatan pergerakan penuh tamat pada 28 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.berkata langkah itu bagi tujuan penyelarasan penguatkuasaan kawalan pergerakan di sekatan jalan raya (SJR).
“Susulan keputusan kerajaan melanjutkan sekatan pergerakan penuh hingga 28 Jun, PDRM akan terus menerima surat atau permit pergerakan yang dikeluarkan 12 kementerian dan agensi yang telah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Hamzah berkata polis melakukan hampir 1,000 SJR dan menutup 129 jalan kecil yang dikenal pasti menjadi laluan alternatif orang awam untuk melanggar larangan rentas negeri dan daerah.
Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati memalsukan permit pergerakan atau memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan permit kebenaran. –Awani