Buletin

PORSCHE CAYENNE 2022 JADI MODEL PERTAMA DIPASANG DI KULIM. HARGA BERMULA RM550,000

Porsche Malaysia diwakili Sime Darby Auto Performance (SDAP) mengesahkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Cayenne merupakan model pertama pemasangan tempatan (CKD) di Kulim, Kedah.

Pemasangan model terbaharu itu melakar sejarah tersendiri apabila Malaysia merupakan negara pertama menghasilkan pengeluaran Porsche di luar Eropah.

Ia sekali gus memberi petanda bahawa jenama tersebut serius dalam komitmen kepada negara serta pengiktirafan potensi pembangunan dalam pelbagai aspek di rantau Asia Tenggara.

Porsche Cayenne itu ditawarkan pada harga bermula RM550,000 dan penghantaran pertama dijangka pada Mac 2022.

SUV CKD berkenaan akan didatangkan aksesori standard dipertingkatkan secara eksklusif untuk disesuaikan pasaran tempatan.

Antaranya termasuk pilihan tiga warna metalik dipadankan aksen hitam berkilat, lampu LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS), lampu LED pada bahagian belakang dan rim RS Spyder 21 inci.

Selain itu, ruang dalaman hadir dengan sistem audio BOSE Surround Sound System, dua pilihan warna upholsteri, tempat duduk boleh laras dengan 14 cara fungsi memori, sistem kawalan iklim empat zon dan tirai suria elektrik di tingkap belakang.

Sistem bantuan pemanduan turut dipertingkatkan seperti ciri-ciri Comfort Access, Porsche Communication Management System dengan skrin HD penuh 12 inci, Park Assist, sistem pandangan keliling, Apple CarPlay dan perkhidmatan Porsche Connect.

Bagi para pelanggan yang inginkan kelainan, mereka boleh memilih pakej penyesuaian Porsche Exclusive Manufaktur merangkumi naiktaraf kosmetik SportDesign Package, tinted pada lampu utama dan belakang, rim 22 inci, serta sistem ekzos sport dengan tip sporti unik.

Para pelanggan juga boleh memilih pakej ruang dalaman Carbon untuk kemasan eksklusif pada bahagian seperti papan pemuka dan panel pintu.

Untuk keterangan lanjut berhubung Porsche Cayenne 2022 boleh melayari porsche.com.my

Google ads
Back to top button