Buletin

PRO-NET LANCAR HAB PENGECASAN DC PERTAMA DI TANJUNG MALIM

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat PROTON, hari ini merasmikan hab pengecasan pantas (DC) pertama yang diuruskan sepenuhnya oleh syarikat itu sendiri, terletak di kompleks pentadbiran PROTON Tanjung Malim.

Hab tersebut dilengkapi dua unit pengecas DC dengan empat ruang khas, mampu menghasilkan kuasa output keseluruhan 120kW untuk mengecas sehingga empat kenderaan elektrik (EV) serentak.

Berbeza dengan kemudahan terdahulu yang dikendalikan oleh penyedia luar, infrastruktur ini menandakan langkah pertama PROTON menguruskan rangkaian pengecasannya secara kendiri – sekali gus memberi kawalan penuh terhadap kos, aksesibiliti serta pengalaman pengguna.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, pembukaan ini bukan sahaja menyediakan kemudahan pengecasan, tetapi juga sebahagian daripada usaha membina ekosistem EV yang mampan di Malaysia.

Hab ini boleh digunakan oleh semua pemilik EV tanpa mengira jenama, selepas mendapat kelulusan Lesen ST EVCS.

Menariknya, ia mengamalkan konsep pengecasan tanpa aplikasi – hanya imbas kod QR dan akses terus ke laman web untuk memulakan pengecasan serta membuat bayaran.

Bagi pemilik Proton e.MAS dan smart, aplikasi rasmi e.MAS dan Hello smart turut disepadukan untuk kemudahan tambahan.

Kadar caj ditetapkan pada RM0.80/kWh, antara yang paling rendah di Malaysia. Sempena bulan pelancaran, pengguna menikmati diskaun 50% dari 1 hingga 31 Oktober 2025, menjadikan kos hanya RM0.40/kWh.

Google ads
Back to top button