
PRO-NET SERAH KENDERAAN ELEKTRIK KEPADA MOT – SOKONG AGENDA MOBILITI RENDAH KARBON
PRO-NET, pengedar rasmi kenderaan elektrik Proton e.MAS dan smart Malaysia, pada 26 Ogos lalu menyerahkan beberapa unit kenderaan elektrik (EV) kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
Usaha ini sejajar dengan pelaksanaan Pelan Mobiliti Rendah Karbon Malaysia (LCMB) 2021–2030 dan menegaskan peranan PRO-NET dalam membantu negara mencapai sistem pengangkutan yang lebih hijau dan mampan.
Barisan EV yang dipersembahkan PRO-NET termasuk model Proton e.MAS 7, iaitu EV pertama buatan Malaysia, selain smart #1 dan smart #3.
Kenderaan ini memberi peluang kepada pihak berkepentingan kerajaan menilai secara langsung keupayaan, jarak perjalanan dan teknologi EV terkini.

Inisiatif tersebut juga menyokong sasaran Malaysia mencapai 15 peratus penggunaan kenderaan elektrik menjelang 2030, serta membantu merangka dasar dan infrastruktur yang lebih bersesuaian untuk mempercepatkan penerimaan EV.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata, “Kerjasama ini mencerminkan komitmen PRO-NET dalam mempercepatkan peralihan mobiliti rendah karbon di Malaysia.”
“Dengan memberi peluang kepada agensi kerajaan merasai sendiri pengalaman menggunakan Proton e.MAS dan smart, kami berharap dapat memperkukuh kefahaman serta kesiapsiagaan dalam menghadapi era mobiliti Lestari,” katanya.
Penyerahan EV ini menandakan sokongan padu PRO-NET terhadap usaha kerajaan dalam memperluaskan penggunaan kenderaan elektrik, sekali gus memperkukuh agenda mobiliti rendah karbon negara.
Melalui kerjasama ini, PRO-NET berazam untuk terus menjadi rakan strategik dalam menjayakan transformasi pengangkutan hijau di Malaysia.









