Buletin

PORSCHE 911 GT3 2025 DILANCAR DI MALAYSIA – HARGA BERMULA RM2.29 JUTA

Porsche Malaysia secara rasmi melancarkan model 911 GT3 facelift generasi 992.2 ke pasaran tempatan, menjadikan jentera ikonik ini lebih berfokuskan pemandu dengan pelbagai penambahbaikan teknikal, meskipun angka kuasa tidak berubah.

Harga permulaan ditetapkan pada RM2,290,000 (tidak termasuk kos atas jalan dan pilhan tambahan).

Seperti biasa, pembeli boleh memilih versi GT3 sayap besar atau varian Touring yang tampil lebih sederhana. Menariknya, Touring kini hadir dengan tempat duduk belakang sebagai standard, lengkap dengan ISOFIX.

Dari segi kuasa, model ini masih menggunakan enjin 4.0 liter flat-six NA, menghasilkan 510PS dan 450Nm. Walaupun tork sedikit menurun berbanding generasi terdahulu, Porsche mengimbanginya dengan nisbah gear akhir 8% lebih pendek.

Ini membolehkan pecutan 0-100km/j dicapai dalam 3.4 saat (PDK 7-kelajuan) atau 3.9 saat (manual 6-kelajuan), manakala kelajuan maksimum kini 311km/j.

Fokus utama Porsche kali ini adalah pada dinamik pemanduan. Suspensi double wishbone depan kini menggunakan geometri anti-dive daripada model GT3 RS, manakala front trailing arms berbentuk “teardrop” membantu meningkatkan daya turun (downforce) serta penyejukan brek. Penyerap hentak pula ditala semula untuk keselesaan tambahan, dan stereng diberi tindak balas lebih stabil.

Ujian di Nürburgring Nordschleife membuktikan peningkatan itu. Pelumba Jörg Bergmeister mencatat masa 6 minit 56.294 saat, menjadikannya lebih laju berbanding rekod lama walaupun kuasa tidak berubah.

Buat pertama kali, pakej Weissach ditawarkan pada model GT3 bukan-RS. Ia menambah elemen gentian karbon pada bumbung, bampar, cermin sisi, serta beberapa komponen casis.

Harga tambahan untuk pakej ini mencecah lebih RM200,000, manakala pakej Leichtbau untuk varian Touring berharga sekitar RM381,000, melibatkan pengurangan berat melalui panel pintu ringan, bumbung karbon serta gear manual pendek ala 911 S/T.

Dari segi rupa, facelift ini mengikuti bahasa rekaan 992.2 lain – lampu depan baharu dengan lampu nyalaan siang terbina, lampu belakang lebih lebar, serta bampar depan yang lebih bersih.

Rim aloi tempa baharu bersaiz 20/21-inci bukan sahaja lebih ringan, tetapi boleh diganti dengan pilihan rim magnesium untuk penjimatan berat tambahan.

Di dalam, kokpit dilengkapi paparan instrumen digital 12.6-inci dan sistem infotainmen PCM 10.9-inci dengan mod “Track Screen”. Material Race-Tex serta kemasan karbon memperkukuh aura sporty, manakala pilihan tempat duduk bucket ringan dengan ciri lipat menambah praktikaliti.

GALERI:

Porsche 911 GT3 2025 dengan pakej Weissach

2025 Porsche 911 GT3 Touring manual 

Google ads
Back to top button