Buletin

SEMAKIN RAMAI PILIH EV, PRO-NET RASMI TIGA LAGI PUSAT PENGEDAR BAHARU

PRO-NET, syarikat subsidiari milik penuh PROTON yang menerajui jenama mobiliti elektrik nasional, terus memperkukuh kedudukannya dalam industri kenderaan elektrik (EV) menerusi peluasan rangkaian pengedar di seluruh negara.

Terkini, tiga pusat pengedar baharu telah memulakan operasi, masing-masing di Kota Kinabalu (Sabah), IOI Putrajaya dan Jalan Klang Lama (Kuala Lumpur).

Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan capaian perkhidmatan kepada pengguna, malah membuktikan kesungguhan PRO-NET dalam menjadikan pemilikan EV lebih mudah diakses.

Menandakan ulang tahun pertama pelancarannya, Proton e.MAS kini beroperasi menerusi 35 pusat pengedar aktif daripada 47 yang telah dilantik. Model utama mereka, e.MAS 7, berjaya mencatat lebih 3,000 unit penyerahan, menjadikannya antara EV paling laris dalam masa singkat di Malaysia.

Tiga lokasi baharu yang mula menerima pelanggan adalah:

  • Fook Loi Eurocar (Kota Kinabalu, Sabah)
  • Jewel Sonic (IOI City Mall, Putrajaya)
  • Peringgit Auto Max (Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur)

Kesemua premis ini menawarkan perkhidmatan jualan, servis, serta sokongan selepas jualan secara menyeluruh.

Selain itu, rangkaian Proton e.MAS turut merangkumi 25 pusat 3S, 31 stesen pengecasan pantas DC, dan 10 pusat baik pulih badan dan cat, sekaligus melengkapkan ekosistem pemilikan EV yang menyeluruh dan berdaya saing.

Selain Proton e.MAS, jenama smart turut mencatat pencapaian baharu apabila Fook Loi Corporation (Sabah) diumumkan sebagai pengedar rasmi pertama jenama itu di negeri berkenaan.

Kini, warga Sabah berpeluang merasai sendiri pengalaman EV premium melalui model smart #1 dan smart #3 yang ditawarkan di bilik pameran mereka.

Sama ada melalui jenama nasional e.MAS atau pengalaman premium smart, pengguna kini mempunyai lebih banyak pilihan dan keyakinan dalam meneroka dunia kenderaan elektrik.

Dengan sokongan pengedar yang semakin meluas, PRO-NET berada pada landasan kukuh untuk memainkan peranan utama dalam transformasi mobiliti negara.

Google ads
Back to top button