Buletin

PROMOSI LEMAH, TIKET MOTOGP MANDALIKA LESU

Jualan tiket untuk MotoGP Mandalika 2025 yang bakal berlangsung pada 3 hingga 5 Oktober ini dilaporkan masih hambar, jauh ketinggalan berbanding tahun lalu.

Menurut data Asosiasi Travel Agen Indonesia (Astindo) NTB, hasil jualan tiket melalui pihak mereka setakat ini hanya sekitar Rp600 juta (kira-kira RM176,000), sedangkan pada tempoh sama tahun lalu jumlahnya pernah mencecah antara Rp6 hingga Rp7 bilion (RM1.76 juta – RM2.05 juta).

Ketua Astindo NTB, Sahlan M. Saleh, menjelaskan kelembapan jualan ini berpunca daripada beberapa faktor, termasuk masa promosi yang terlalu singkat dan komunikasi kurang berkesan antara penganjur serta pihak pelancongan.

“Jualan tiket mula dibuka Februari lalu, tetapi hak pengelolaan hanya kami terima pada September. Jadi usaha untuk gabungkan pakej tiket bersama pelancongan jadi agak sukar,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa promosi acara bertaraf dunia itu masih tidak seimbang jika dibandingkan dengan Malaysia dan Singapura.

Kedua-dua negara tersebut giat memasarkan acara motosikal berprestij ini, malah ada yang turun padang sehingga ke Lombok, bukan sekadar di Jakarta.

Selain isu promosi, harga tiket penerbangan turut menjadi rungutan. Laluan Jakarta–Lombok kini bermula sekitar Rp1.2 juta (RM352) hingga Rp1.5 juta (RM440), malah berpotensi naik lebih tinggi ketika hujung minggu perlumbaan.

“Kos penerbangan ini dirasakan mahal oleh peminat yang ingin menonton secara langsung,” ujar Sahlan.

Daripada 50,700 tiket yang ditawarkan oleh Mandalika Grand Prix Association (MGPA), hanya sekitar 16 hingga 17 peratus berjaya dijual setakat ini.

Walau begitu, Astindo optimis mampu meraih lebih banyak jualan menjelang H-5 sebelum acara berlangsung.

“Kami mahu melihat litar Mandalika dipenuhi penonton, kerana kejayaan acara ini adalah maruah kita bersama,” tambah beliau.

Sahlan turut menzahirkan kekesalan terhadap kelemahan komunikasi awal daripada pihak penganjur, termasuk ITDC dan MGPA.

Katanya, perancangan untuk acara besar seperti ini seharusnya dimulakan sekurang-kurangnya setahun lebih awal.

“Kalau strategi dibincang awal, kita boleh susun promosi lebih agresif. Tetapi perbincangan serius baru berlaku sebulan dua sebelum acara,” katanya.

Google ads
Back to top button