
PRO-NET PAMER TEKNOLOGI EV TERKINI DAN PROTON e.MAS DI GATE 2025
PROTON dan anak syarikatnya, PRO-NET, menyerlahkan komitmen mereka terhadap masa depan mobiliti elektrik negara dengan menyertai Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 12 hingga 14 November.
Pameran automotif dan teknologi berprestij itu menghimpunkan pemain industri, penggubal dasar serta inovator dari dalam dan luar negara bagi membincangkan hala tuju baharu mobiliti pintar, sistem pemanduan autonomi dan pembangunan pengangkutan mesra alam di rantau ini.
Sebagai antara peneraju dalam bidang elektrifikasi automotif tempatan, penyertaan PRO-NET di GATE 2025 memperkukuh kedudukannya sebagai penggerak utama dalam membangunkan ekosistem kenderaan elektrik (EV) Malaysia serta mengukuhkan kerjasama strategik dengan rakan teknologi global.

Antara tarikan utama di reruai PROTON dan PRO-NET ialah paparan beberapa inovasi baharu yang menandakan era baharu jenama nasional itu dalam dunia elektrifikasi:
- Sistem Pemacu Elektrik 12-dalam-1, unit kuasa bersepadu yang menggabungkan pelbagai komponen untuk menjana prestasi tinggi dengan kecekapan tenaga maksimum.
- Teknologi Cell-to-Body (CTB), rekaan struktur bateri yang terus disepadukan ke dalam casis bagi menambah ketegaran, keselamatan dan penjimatan ruang.
- Bateri Short Blade, yang menawarkan kepadatan tenaga lebih tinggi, kadar pengecasan pantas serta jangka hayat lebih panjang.
- Proton e.MAS 5, hatchback elektrik baharu dengan rekaan moden, teknologi pintar dan harga berpatutan – dibangunkan khusus untuk menjadikan pemilikan EV lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia.
Selain pameran statik, pengunjung juga boleh merasai sendiri pengalaman memandu Proton e.MAS 7 dan Proton e.MAS 5 melalui sesi pandu uji yang disediakan sepanjang acara berlangsung.
GATE 2025 berperanan sebagai platform penting bagi industri automotif dan teknologi ASEAN untuk memacu masa depan pengangkutan yang lebih bersih dan efisien.

Kehadiran PROTON di acara ini menegaskan aspirasi jenama nasional itu untuk menjadi peneraju dalam era mobiliti elektrik serta inovasi lestari.
Hari terakhir pameran, 14 November, dibuka kepada orang ramai dengan kemasukan percuma, memberi peluang kepada pengunjung meneroka lebih dekat teknologi EV terkini di ruang pameran PROTON.
Usai GATE 2025, PROTON dan PRO-NET turut dijadual menyertai MITI ASEAN Day 2025 pada 14 hingga 15 November di Menara MITI, Kuala Lumpur.
Acara tahunan anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu bertujuan memperkenalkan peranan MITI kepada masyarakat serta memperkukuh sokongan terhadap Dasar Automotif Negara 2020 (NAP 2020).
Sebagai sebahagian daripada Mini Malaysia Autoshow di acara berkenaan, PROTON bakal mempamerkan Proton e.MAS 5, menandakan kesinambungan usaha syarikat untuk memperluas mobiliti elektrik di Malaysia.
Menurutnya, program ini juga menjadi pemanas badan kepada Malaysia Autoshow yang bakal diadakan pada tahun hadapan.
- BACA: HONDA MALAYSIA RAI ULANG TAHUN KE-25: PERKENAL HONDA CR-V DUAL-TONE EDITION, TERHAD 300 UNIT, HARGA BERMULA RM169K
- BACA: AVETA VANGUARD 250 SE KINI DENGAN WARNA BAHARU, TIADA LAGI VARIAN STANDARD
- BACA: BYD SHARK 6 PHEV DIDEDAHKAN DI MALAYSIA – JANA 436HP, JARAK GERAK 800KM
- BACA: MOTO GUZZI V85 2026 – TIGA VARIAN DAN PERSONALITI, WARNA BAHARU LEBIH MENONJOL








