Buletin

PROTON CATAT HASIL JUALAN 789 UNIT DI PASARAN BRUNEI, MENINGKAT 87 PERATUS

Pengeluar kereta nasional, PROTON terus mempamerkan prestasi jualan terbaiknya apabila mencatatkan 789 unit terjual di pasaran Brunei bagi tahun 2023.

Angka berkenaan membolehkan peningkatan sebanyak 87 peratus berbanding hanya menjual 422 unit pada 2022.

Prestasi luar biasa itu melonjakkan jenama tersebut ke tangga kelima keseluruhan dalam jadual jualan dan memperoleh pegangan pasaran sebanyak 5.4 peratus, naik satu tempat dan meningkat 2.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Untuk rekod, Jumlah Volum Industri (TIV) bagi negara tersebut ditutup pada 14,640 unit untuk tahun 2023, peningkatan daripada 13,000 unit bagi tahun 2022.

Proton X50 telah menjadi model Proton siri X terlaris sejak diperkenalkan pada Oktober 2020, di mana lebih 100,000 unit dikeluarkan dari barisan pemasangan di kilang PROTON di Tanjong Malim.

Oleh itu, tidak mengejutkan bahawa SUV segmen B ini mendahului jualan untuk semua model Proton di Brunei.

476 unit Proton X50 berjaya dijual di sana pada tahun 2023, merangkumi kira-kira 60 peratus daripada jumlah jualan Proton dan memacu model itu ke tempat ketiga keseluruhan dalam segmen pasarannya.

Hasil daripada usaha promosi dan penjenamaan, model Proton lain turut disenaraikan dalam tempat 10 teratas segmen masing-masing pada tahun 2023.

Proton Persona serta Proton Iriz berada di kedudukan keenam dan kelapan untuk kereta segmen B manakala Proton X90 menduduki tempat ketujuh untuk SUV segmen D.

Berlandaskan kejayaan tersebut, kedua-dua PROTON dan PAD Motors yakin mampu mencapai lebih daripada 1,000 unit untuk Brunei pada tahun 2024.

Menurutnya, kunci untuk mencapai matlamat itu ialah pelancaran Proton S70 serba baharu, yang dijangka berlaku sebelum hujung Februari.

Brunei merupakan pasaran antarabangsa pertama yang menerima model itu dan 15 unit telah dihantar ke sana bulan lepas menjelang pelancaran rasminya.

Google ads
Back to top button