Buletin

PROTON TERIMA LEBIH 4,000 TEMPAHAN PROTON S70

Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd menerima lebih 4,000 tempahan setakat ini bagi kereta sedan kompak S70 yang baru dilancarnya.

Timbalan ketua pegawai eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata sambutan menggalakkan itu mencerminkan keyakinan dan keterujaan pelanggan terhadap model terbaharu itu.

“Selepas meneraju segmen kenderaan utiliti sukan dengan model seperti Proton X50, X70 dan X90, kami kini membawa kehebatan teknologi kami kepada model sedan keluarga yang baharu.

“Minggu lalu, Proton S70 membuat penampilan sulungnya di Sabah, dan kini, kami teruja untuk meneruskan keterujaan itu ke Sarawak.

“Hari ini menandakan satu peristiwa istimewa tatkala kami memperkenalkan era baharu memacu inovasi ke negeri yang dinamik ini,” katanya.

Pada 28 Nov, Proton melancarkan sedan kompak S70 dan menyasarkan menjual lebih 3,000 unit sebulan bagi tahun pertama pelancarannya.

Ketua pegawai eksekutifnya Li Chunrong berkata S70 1.5 liter turbo didatangkan dalam empat varian, iaitu Executive, Premium, Flagship dan Flagship X.

Tempahan S70 akan diserahkan kepada pengguna awal tahun depan dengan Premium dan Flagship X menjadi varian paling popular. – Bernama

Google ads
Back to top button