Buletin

VINFAST DEDAH HARGA JUALAN ENAM MODEL UNTUK PASARAN INDONESIA, BERMULA RM76K – RM153K

VinFast secara rasmi memperkenalkan enam kereta elektrik pacuan kanan untuk pasaran Indonesia di Indonesia International Motor Show (IIMS) 2024.

Jenama dari Vietnam ini membawakan kenderaan empat roda berkuasa bateri daripada segmen SUV iaitu VF 5, VF e34, VF 6, VF 7, VF 8 dan VF 9.

Walaupun ia telah diperkenalkan, VinFast tidak mengeluarkan harga rasmi untuk barisan keretanya.

Bagaimanapun, kakitangan jualan di reruai VinFast IIMS 2024 telah pun membuka tempahan dan memberikan maklumat tentang harga.

“Harganya berbeza-beza. Untuk VinFast VF5 ia adalah IDR 250 juta (RM76,519). Untuk VFe34 ia sekitar di bawah IDR 300 juta (RM91,822),” jelas salah seorang kakitangan jualan VinFast.

Manakala untuk dua model lain iaitu VF6 harganya sekitar Rp 300 juta (RM91,822) hingga Rp 350 juta (RM107,126) dan model VF7 berharga sekitar IDR 500 juta (RM153,038).

“Unit CBU datang terus dari Vietnam, tetapi penghantaran tidak pasti. Sudah tentu pada bulan Mac atau April, unit untuk VFe34 akan tersedia,” kata jurujual itu.

Selain itu, VinFast juga menawarkan polisi jualan dan selepas jualan yang fleksibel, supaya ia dapat diakses dengan lebih mudah oleh semua pelanggan.

Untuk memastikan pengecasan yang mudah dan berpatutan, VinFast akan bekerjasama dengan pembekal tempatan untuk membina rangkaian stesen pengecasan di seluruh negara.

“Kami berada di sini untuk memperkasakan pengguna Indonesia dengan pelbagai pilihan untuk mobiliti hijau dan lebih mampan.

“Kami mahu ini menjadi momentum bagi peralihan Indonesia ke arah tenaga mesra alam,” kata Ketua Pegawai Eksekutif VinFast Indonesia Tran Quoc Huy.

Google ads
Back to top button