Buletin

PROTON CATAT JUALAN SEBANYAK 9,792 UNIT PADA BULAN MEI, PENINGKATAN 10.8 PERATUS

PROTON mencatatkan jualan sebanyak 9,792 unit bagi bulan Mei setelah berjaya meningkatkan pengeluaran dengan mengatasi isu bekalan komponen.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10.8% berbanding April 2022 dan 3.7% berbanding dengan Mei 2021.

Timbalan Pegawai Eksekutifnya Roslan Abdullah berkata peningkatan jualan pada Mei itu daripada 8,839 unit yang terjual pada April disebabkan syarikat menaikkan jumlah pengeluaran untuk mengejar permintaan pasaran.

“Sama dengan semua jenama industri automotif, kami masih berusaha untuk mendapat bekalan komponen supaya boleh memenuhi tempahan yang tertunggak dan oleh itu, kami amat menghargai kesabaran pelanggan yang tetap memberi sokongan kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Roslan berkata Proton X50 terus menguasai pasaran SUV selepas 2,779 unit didaftarkan pada bulan Mei membolehkan ia menyandang kedudukan pertama bagi SUV segmen-B dan juga segmen SUV secara keseluruhan.

Manakala dua lagi model Proton yang kekal di tempat pertama di segmen masing-masing adalah Proton X70 dan Proton Exora dengan jualan sebanyak 692 unit dan 387 unit.

Mengenai Proton Saga, beliau berkata model paling laris syarikat itu berjaya meraih jualan sebanyak 3,996 unit pada Mei, menempatkan ia di tangga kedua bagi sedan segmen-A.

“Ini adalah pencapaian yang bagus memandangkan syarikat perlu menguruskan peralihan model daripada versi lama ke versi Proton Saga 2022 yang dilancarkan pada 12 Mei.

“Model baharu menawarkan ciri-ciri yang dipertingkatkan serta peningkatan keselamatan dan kualiti. Oleh itu, permintaan pasaran amat menggalakkan dengan lebih 12,000 tempahan diterima,” katanya.

Roslan berkata, model itu juga menunjukkan prestasi yang tinggi di pasaran eksport dengan jumlah eksport tahun ini berjumlah 1,482 unit, penambahan sebanyak 71 peratus berbanding tahun lalu.

“Jualan eksport bagi Mei sebanyak 513 unit adalah penambahan sebanyak 12.5 peratus berbanding bulan lepas, manakala jualan keseluruhan tahunan sebanyak 2,086 unit adalah penambahan sebanyak 47.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021.

“Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, Pakistan kekal sebagai pasaran eksport terbesar dengan 1,350 unit diikuti oleh Mesir dan Brunei dengan 172 dan 158 unit,” katanya.

Berbanding pasaran automotif secara keseluruhan pula, beliau berkata Proton mengekalkan kedudukannya di tangga kedua dengan anggaran pegangan pasaran semasa sebanyak 19.6 peratus manakala jumlah pegangan pasaran tahunan (YTD) dianggarkan pada 17.1 peratus.

Google ads
Back to top button