Buletin

smart #1 DIPERKENAL, PROTON EDAR BAWA MASUK MALAYSIA, SMART JUGA!

Model elektrik smart #1 (dibaca number one) baru sahaja diperkenalkan. Ini adalah model pertama smart Automobile Co., Ltd. yang dipegang secara bersama (50-50) di antara Mercedes-Benz AG and Geely Automobile Co., Ltd. 

Seperkara menarik, hak pengedaran kenderaan smart dipegang oleh Proton Edar yang bakal membawanya ke pasaran tempatan dan Thailand.

Berbeza dengan model smart terdahulu yang mempunyai saiz kecil, smart #1 jauh lebih besar seperti sebuah crossover kompak.

Reka bentuknya juga menarik, tidak terlalu agresif dan dilihat boleh diterima pelbagai peringkat usia.

Apa yang menarik tentang smart #1? Berikut disenaraikan:

Ukuran sedang-sedang

Panjang smart #1 ialah 4270 mm, jarak roda 2,750 mm, lebar 1822 mm dan tinggi 1636 mm.

Dimensi itu tidak besar dan tidak kecil serta sesuai untuk pemanduan peribadi dan membawa penumpang serta barangan.

Ruang simpanan bagasi dari 273 liter hingga 411 liter. Untuk praktikaliti, kerusi belakang boleh dianjak depan sehingga 13 cm dan boleh dipisah secara 60:40.

Nadi elektrik, pacuan belakang

Dibekalkan bateri NCM (Lithium, Nickel, Cobalt, Manganese) berkapasiti 66kWh dengan jarak gerak 420 km hingga 440 km (WLTP).

Dari segi prestasi, kereta pacuan roda belakang ini boleh dipandu selaju 180 km/j dan mempunyai kuasa 200kW (272 ps) dan tork 343 Nm.

Kapasiti maksimum pengecasan AC ialah 22 kW dan 150 kW untuk aliran terus DC.

Masa mengecas dari 10 hingga 80 peratus di bawah tiga jam untuk pengecasan AC dan di bawah 30 minit dengan pengecasan pantas DC.

Dalaman ringkas dan premium

Sesetengah kenderaan elektrik dibuat begini, tidak berserabut, ringkas dan nampak premium. Dalaman smart #1 nampak seperti dipengaruhi kenderaan Mercedes-Benz.

Paparan skrin yang dipasang saiz 12.8 inci dengan piksel 1920 x 1080 dan disediakan set audio premium yang terdiri daripada modul amplifier, 13 pembesar suara termasuk sub woofer.

Selain skrin di tengah, pemandu turut dihidangkan dengan paparan meter digital definisi tinggi (HD) penuh saiz 9.2 inci dan Paparan Atas (HUD) saiz 10 inci.

ADAS, tujuh beg udara

Janggal jika kereta sebegini tidak mempunyai sistem keselamatan canggih. Smart #1 dilengkapi pakej ADAS seperti berikut:

  • Kawalan jelajah adaptif dengan fungsi Henti & Mula.
  • Sistem pengekalan laluan aktif.
  • Bantuan titik buta.
  • Bantuan lebuh raya dan kesesakan jalan raya.
  • Bantuan parkir automatik.
  • Bantuan lampu puncak adaptif.

Turut melindungi pemandu dan penumpang ialah tujuh beg udara.

Bila masuk Malaysia?

Selain pemakluman hak pengedaran, Proton Edar belum berkongsi maklumat lanjut tentang operasi smart di negara kita.

Adakah bakal ada bilik pameran baharu? Kaedah pembelian dan sebagainya. Harga atau lingkungan harga pula belum diberitahu oleh smart.

Kami jangkakan harga smart #1 tidak terlampau tinggi dan setara dengan pesaing lain. Cumanya, kebanyakan harga EV global masih lagi di peringkat sederhana tinggi.

Google ads
Back to top button