Buletin

PROTON E.MAS 7 CATAT JUALAN LEBIH 3,600 UNIT – EV NO.1 DI MALAYSIA SELEPAS 5 BULAN

Proton e.MAS menyambut ulang tahun pertamanya dengan pencapaian membanggakan, apabila model sulungnya, e.MAS 7, kini merupakan kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia, dengan 3,632 unit terjual setakat 31 Mei 2025.

Daripada jumlah itu, 3,399 unit dijual dalam negara, manakala 233 unit dieksport – angka yang dicapai hanya dalam tempoh lima bulan sejak penghantaran bermula pada Januari.

Ini menjadikan e.MAS 7 sebagai EV paling pantas terjual di negara ini.

Dilancarkan secara rasmi pada 16 Disember 2024, e.MAS 7 menandakan permulaan jenama baharu Proton e.MAS yang diperkenal pada 12 Jun tahun lalu oleh PRO-NET, anak syarikat Proton khusus dalam pembangunan EV.

“Sambutan luar biasa ini mengesahkan strategi kami berada di landasan yang tepat,” kata CEO PRO-NET, Zhang Qiang.

e.MAS bukan sekadar tentang menjual EV. Dalam tempoh setahun, PRO-NET berjaya membina asas kukuh bagi ekosistem EV Malaysia termasuk lebih 3,100 titik pengecasan awam dan aplikasi e.MAS dengan paparan peta pengecasan langsung.

Kini, Proton e.MAS mempunyai 44 bilik pameran, 32 daripadanya sudah beroperasi, serta 24 pusat 3S, dengan enam lagi bakal dibuka.

Selain itu, fasiliti pengeluaran khusus e.MAS di Tanjung Malim turut giat dibangunkan dengan kerjasama pembekal tempatan, satu langkah strategik memacu pembangunan industri EV tempatan.

Proton e.MAS juga mengumumkan model keduanya, e.MAS 5, bakal dilancarkan dengan harga lebih berpatutan, hasil maklum balas dan pengalaman daripada model pertama.

Sebagai penghargaan kepada pelanggan, PRO-NET kini menjalankan kempen “Peace of Mind” – pemeriksaan kenderaan percuma termasuk sistem brek, bateri, elektronik dan penghawa dingin, dari 1 Jun hingga 1 Julai 2025.

“Masa depan mobiliti adalah elektrik, dan kami mahu rakyat Malaysia menjadi sebahagian daripadanya,” kata Zhang lagi.

Google ads
Back to top button