
PROTON e.MAS 7 CATAT HASIL JUALAN 5,811 UNIT SEHINGGA OGOS 2025
Proton e.MAS 7 terus membuktikan dominasinya di pasaran kenderaan elektrik (EV) Malaysia apabila mencatatkan penghantaran kumulatif sebanyak 5,811 unit dari Januari hingga Ogos tahun ini.
Daripada jumlah itu, 5,455 unit diserahkan kepada pelanggan tempatan, manakala 356 unit dieksport ke empat pasaran luar negara.
Dengan pencapaian ini, Proton e.MAS 7 kekal sebagai EV paling laris di Malaysia selama lapan bulan berturut-turut, menguasai hampir suku pasaran EV nasional dengan pegangan 24 peratus.
“Kami amat menghargai sokongan yang diberikan oleh pemilik Proton e.MAS 7. Model ini dibangunkan khusus untuk rakyat Malaysia, dan maklum balas pelanggan sentiasa menjadi panduan kami untuk melakukan penambahbaikan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), Encik Zhang Qiang.

Beliau menambah, pelancaran varian baharu pada Julai lalu yang memperkenalkan kemas kini over-the-air serta pilihan warna dan rekaan dalaman terkini adalah bukti kesungguhan PROTON dalam memperkayakan pengalaman pemilikan.
Ogos lalu juga menandakan detik bersejarah buat PROTON apabila kilang EV pertamanya di Tanjung Malim mula beroperasi secara rasmi.
Kilang yang terletak di dalam Automotive High Technology Valley (AHTV) itu mempunyai kapasiti 20,000 unit setahun, dengan potensi meningkat sehingga 45,000 unit apabila permintaan bertambah.
Sehingga kini, Proton e.MAS 7 masih dipasarkan dalam bentuk CBU (completely built-up) dari China, namun dengan bermulanya operasi pemasangan tempatan, ia bakal menjadi EV pertama PROTON yang dipasang di Malaysia.







