
PRO-NET SERAH PROTON e.MAS 5, e.MAS 7 KEPADA MOT, SOKONG INISIATIF EV
PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON, menyerahkan tiga kenderaan elektrik (EV) kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) sebagai sokongan terhadap usaha kerajaan menilai penggunaan EV dalam operasi rasmi kementerian.
Kenderaan yang diserahkan merangkumi Proton e.MAS 5, Proton e.MAS 7, Proton e.MAS 7 PHEV serta smart #1.
Penyerahan tersebut berlangsung dalam Majlis Penyerahan Kenderaan EV kepada Kementerian Pengangkutan yang diadakan di ibu pejabat kementerian itu di Putrajaya.

Inisiatif berkenaan merupakan susulan kepada pelancaran program yang diadakan pada 26 Ogos 2025, di mana beberapa pengeluar automotif tampil menyokong usaha kementerian untuk menguji penggunaan kenderaan elektrik dalam tugasan rasmi harian.
Melalui program ini, pegawai dan pihak berkepentingan kerajaan berpeluang mencuba sendiri teknologi EV sambil menilai aspek prestasi, kecekapan serta kesesuaiannya untuk kegunaan operasi harian.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir Abdul Rashid Musa berkata, penyertaan PROTON dalam program tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk menyokong agenda kerajaan dalam mempercepatkan peralihan ke arah mobiliti yang lebih lestari.

Menurutnya, penyediaan model Proton e.MAS 5, e.MAS 7, e.MAS 7 PHEV dan smart #1 untuk tujuan penilaian memberi peluang kepada pihak berkaitan merasai sendiri teknologi EV, sekali gus membantu dalam proses merangka dasar, pembangunan infrastruktur serta mempercepatkan penerimaan kenderaan elektrik di Malaysia.
Beliau turut menambah bahawa sebagai antara jenama EV yang semakin mendapat perhatian di pasaran tempatan, PROTON berbangga dapat menyumbang kepada perkembangan ekosistem EV negara melalui penyertaan dalam inisiatif tersebut.
Penyerahan kenderaan ini juga mencerminkan komitmen berterusan PROTON untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan serta rakan industri bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti rendah karbon pada masa hadapan.







