
PEMENANG KEMPEN ‘ELECTRIFY YOUR LIFE’ BAWA PULANG PROTON e.MAS 5 PREMIUM
Seorang pemenang Kempen Electrify Your Life 2025 pulang dengan senyuman lebar apabila menerima hadiah utama berupa Proton e.MAS 5 Premium yang diserahkan secara rasmi di pusat jualan Proton e.MAS Setapak.
Kenderaan elektrik (EV) itu menjadi milik En. Shahrul Aizat Ishak, 37, selepas beliau dipilih sebagai pemenang kempen anjuran PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON.
Penyerahan kunci disempurnakan oleh Ketua Unit Jualan PRO-NET, Duan Bingbing.
Kempen tersebut dianjurkan bagi menggalakkan peralihan rakyat Malaysia ke arah mobiliti lebih lestari.

Bagi Shahrul Aizat, kemenangan itu membuka lembaran baharu sebagai pemilik EV, sekali gus merealisasikan impian memiliki kenderaan mesra alam.
Sebagai bapa kepada tiga anak, beliau tertarik dengan reka bentuk moden serta ruang kabin luas yang selesa untuk keluarga. Ruang simpanan tambahan di bahagian hadapan atau ‘frunk’ turut dilihat praktikal untuk kegunaan harian.
Selain keselesaan, faktor penjimatan jangka panjang menjadi pertimbangan utama.
Model ini hanya memerlukan penyelenggaraan setahun sekali, dengan anggaran penjimatan mencecah hampir RM30,000 sepanjang tempoh 10 tahun pemilikan.
Dalam perkembangan sama, Proton e.MAS 5 terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran apabila merekodkan jualan 3,068 unit pada Januari lalu, sekali gus muncul antara model EV paling laris.







