Buletin

PROTON e.MAS TERUS BERKEMBANG, KINI MENJADI RANGKAIAN PENGEDAR EV TERBESAR DI MALAYSIA

Proton e.MAS terus menunjukkan taringnya dalam dunia mobiliti elektrik tempatan. Dalam masa singkat, Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) kini mengumumkan bahawa rangkaian pengedar rasmi jenama itu sudah berkembang melebihi 50 cawangan di seluruh Malaysia, menjadikannya pengedar EV terbesar di negara ini.

Menjelang hujung Oktober 2025, sebanyak 45 pusat pengedaran dijangka beroperasi sepenuhnya. Setiap pusat dilengkapi kemudahan lengkap, daripada jualan dan pandu uji, hinggalah ke pengecasan serta sokongan selepas jualan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata sambutan terhadap e.MAS amat menggalakkan dan menjadi bukti rakyat Malaysia kini semakin terbuka terhadap mobiliti elektrik.

Untuk memastikan liputan yang menyeluruh, Proton e.MAS sedang menambah lebih banyak cawangan di kawasan strategik seluruh negara.

Antara lokasi baharu yang dikenal pasti termasuk Bangsar, Bukit Jalil, Pandan Indah, Batu Caves, Kota Damansara, Cyberjaya dan Kajang di Lembah Klang; Skudai, Kluang dan Johor Bahru di Johor; serta Nibong Tebal dan Batu Kawan di Pulau Pinang.

PRO-NET turut membuka peluang kepada rakan kongsi yang berminat untuk menyertai rangkaian pengedar e.MAS yang semakin pesat berkembang.

Proton e.MAS 5 terima lebih 4,000 tempahan

Model pertama Proton e.MAS, iaitu e.MAS 5, turut menerima sambutan luar biasa sejak tempahan dibuka.

Setakat ini, lebih 4,000 tempahan telah direkodkan, mencerminkan keyakinan pengguna terhadap kenderaan elektrik mampu milik buatan Malaysia.

Bagi yang belum membuat tempahan, Proton e.MAS menasihatkan agar bertindak segera sebelum Pakej Early Bird ditutup apabila mencapai 5,000 tempahan.

Dengan hanya RM99 sebagai yuran tempahan, pelanggan layak menerima:

  • Kad Touch ‘n Go NFC Proton e.MAS edisi terhad pra-isian RM100
  • Rebat RM500 daripada yuran tempahan*

(*Tertakluk kepada terma dan syarat)

Tempahan boleh dibuat melalui laman web rasmi Proton e.MAS atau di mana-mana pengedar sah di seluruh negara.

Google ads
Back to top button