
PROTON PERKENAL TEKNOLOGI PHEV SERTA PRATONTON MODEL 2026 DI PROTON TECHNOLOGY SHOWCASE
PROTON membuka lembaran baharu elektrifikasi jenamanya menerusi penganjuran Proton Technology Showcase di Centre of Excellence (COE), menampilkan barisan inovasi terpenting termasuk rangkaian kuasa hibrid plug-in (PHEV), platform modular baharu, bateri Short Blade, serta demonstrasi kesambungan pintar daripada ACO Tech.
Acara selama tiga hari ini menghimpunkan pembangunan teknikal paling signifikan PROTON dalam satu ruang, memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami bagaimana teknologi elektrifikasi dan enjin pembakaran dalaman moden digabungkan bagi menghasilkan kenderaan generasi seterusnya.
Model semasa seperti Proton X50, e.MAS 5 dan Saga serba baharu turut dipamerkan, bersama sebuah model yang membuat penampilan sulung, dijadualkan memasuki pasaran pada awal 2026.

Kemunculan Pertama Model PHEV Baharu – Dijangka Dikenali Sebagai e.MAS 7 PHEV
Sumber industri menyebut bahawa model pra-produksi yang dipaparkan itu berkemungkinan besar dinamakan e.MAS 7 PHEV, dan kehadirannya di Malaysia dijangka lebih awal daripada yang disangka.
Walaupun masih diselubungi penyamaran, SUV itu menjadi tumpuan utama di Proton Tech Showcase kerana ia menandakan langkah penting PROTON memasuki segmen PHEV moden berprestasi tinggi.
Maklumat rasmi masih terhad, namun reka bentuk asasnya menunjukkan ia berpaksikan Geely Starship 7 EM-i (atau Geely Starray EM-i di beberapa negara).
Lampu hadapan dan belakang jenis full-width, serta bentuk bampar yang seiras model Geely tersebut mengesahkan perkaitan kedua-dua kenderaan.
Unit yang dipamerkan juga hampir menyamai model produksi dengan penggunaan lencana PROTON pada gril, penutup rim 19-inci dan ukiran logo pada cermin tingkap.
Jantung kepada model PHEV terkini ini ialah sistem hibrid generasi baharu yang menggunakan enjin 1.5 liter BHE15PFI NA, iaitu versi khusus untuk hibrid yang turut menjadi nadi kepada Saga serba baharu.
Enjin ini digandingkan bersama bateri Aegis Short Blade LFP 18.4kWh dan transmisi hibrid lengkap dengan mekanisme power-split, menghasilkan konfigurasi siri-paralel – sesuai untuk pemanduan bandar dan jarak jauh.
Berdasarkan angka daripada pasaran luar bagi model Geely Starray EM-i, sistem ini mampu menghasilkan sehingga 218hp dan 320Nm, dengan pacuan roda hadapan memberikan pecutan 0–100 km/j sekitar lapan saat.
Geely sebelum ini menyatakan bahawa enjin hibrid generasi baharu tersebut memiliki kecekapan terma 47.26%, antara yang tertinggi bagi enjin pembakaran dalaman di dunia.
Kecekapan ini membolehkan penggunaan bahan api yang lebih rendah ketika enjin berfungsi sebagai penyokong kepada motor elektrik.
PROTON pula menyasar jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,065km bagi e.MAS 7 PHEV, walaupun angka tersebut mungkin dicapai berdasarkan kaedah ujian tertentu. Ini menunjukkan kemampuan sistem PHEV generasi baharu PROTON dalam menawarkan jarak perjalanan yang jauh tanpa kompromi terhadap prestasi.

Litar Ujian Separa Kelajuan Tinggi – Pengalaman Eksklusif
Pengunjung turut berpeluang merasai sendiri prestasi teknologi PROTON melalui sesi tunggangan bersama jurupandu profesional di litar ujian separa kelajuan tinggi syarikat.
Fasiliti unik ini adalah satu-satunya seumpamanya di Malaysia, digunakan untuk menguji semua model PROTON termasuk kenderaan PHEV yang bakal dilancarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong menjelaskan bahawa inisiatif teknologi baharu ini menandakan era baharu untuk jenama nasional tersebut.
“PROTON sedang melangkah ke fasa di mana inovasi menjadi tunggak utama pembangunan produk kami. Pencapaian yang dipamerkan adalah hasil kerjasama erat dengan Geely dan usaha gigih pasukan kejuruteraan kami. Kami mahu rakyat Malaysia melihat sendiri evolusi teknologi yang sedang dibina untuk masa depan,” katanya.
Dengan pameran komprehensif ini, jelas bahawa PROTON kini bersedia menjalankan transformasi besar dalam elektrifikasi, dan e.MAS 7 PHEV menjadi petanda jelas arah baharu syarikat menjelang 2026.







