Buletin

PROTON PERKASA BELIA DALAM BIDANG EV MELALUI KERJASAMA UNIVERSITI

PROTON terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan bakat muda negara apabila PRO-NET, anak syarikatnya yang memfokuskan kepada kenderaan elektrik, menyertai penganjuran Proton Business Case Challenge 2025.

Proton Business Case Challenge 2025 adalah sebuah pertandingan nasional yang menghimpunkan mahasiswa dari seluruh negara untuk menilai daya analitis, kreativiti dan kefahaman mereka terhadap industri automotif masa depan.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Proton Young Talent (PYT), yang memberi peluang kepada pelajar untuk berdepan cabaran perniagaan sebenar serta membentuk penyelesaian strategik berasaskan data dalam landskap mobiliti moden.

CEO PRO-NET, Zhang Qiang, berkata pertandingan ini membuka ruang untuk melihat bagaimana generasi baharu menilai masa depan sektor automotif negara.

“Industri kenderaan elektrik di Malaysia berkembang pesat, dan kami mahu golongan belia lebih berani meneroka idea baharu. PRO-NET komited untuk membimbing bakat muda dan menyediakan landasan bagi mereka mengembangkan potensi,” katanya.

Proton Business Case Challenge 2025 akan berlangsung melalui enam pusingan serantau, sebelum kemuncak Grand Finale pada 13 Disember 2025.

Setiap pasukan terdiri daripada empat hingga lima pelajar, akan menganalisis, membina strategi, dan membentangkan cadangan mereka berdasarkan kajian kes sebenar industri automotif.

PRO-NET akan berada di lokasi berikut:

  • Lembah Klang – Universiti Malaya (17 November 2025)
  • Wilayah Utara – Universiti Utara Malaysia (19 November 2025)
  • Wilayah Selatan – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (26 November 2025)

Pertandingan ini terbuka kepada:

  • Warganegara Malaysia
  • Berumur 26 tahun ke bawah pada tahun 2025
  • Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana

Selain hadiah wang tunai sehingga RM5,000 untuk pemenang utama dan hadiah RM1,000 bagi kategori Top Presenter, peserta terbaik juga berpeluang menerima Tawaran Bersyarat menyertai Program Proton Young Talent selepas tamat pengajian.

Program ini menawarkan laluan kerjaya eksklusif di PROTON, termasuk:

  • Bimbingan mentor industri
  • Pembangunan profesional berstruktur
  • Pengalaman kerja sebenar dalam sektor automotif nasional
Google ads
Back to top button