
DUCATI XDIAVEL V4 2025 DIUMUMKAN – 168HP, 126NM
Ducati dengan rasminya membuka tirai 2025 dengan pelancaran Ducati XDiavel V4 baharu.
Bagi tahun 2025, XDiavel turut mengikut jejak Diavel V4 dengan digerakkan enjin Granturismo V4 sekaligus menggantikan enjin Testastretta V2 yang diguna pakai pada XDiavel 1260 S sebelum ini.

Peralihan enjin ke Granturismo V4 juga bermakna XDiavel kini tidak lagi mengguna pakai ‘valve’ Desmodromic dan beralih kepada ‘spring valve’.
Menariknya, ketika Diavel V4 tampil seakan motosikal naked yang lebih ‘muscular’ namun XDiavel jelas tampak seperti sebuah ‘cruiser’ yang sebenar dengan tangki lebih panjang serta kedudukan handlebar lebih kehadapan.

Dalam pada itu, enjin Granturismo V4 1,158cc juga lebih kompak dan ringan dan dilengkapi dengan ‘counter-rotating crankshaft’ yang berfungsi mengurangkan daya gyro dari tayar depan agar bahagian depan lebih mudah bergerak dan mudah dikendalikan.
Sementara itu, pada kelajuan rendah, silinder belakang akan dimatikan bagi mengurangkan penghasilan emisi agar tunggangan lebih lancar terutamanya dalam keadaan trafik tinggi.

Atas kertas, unit Granturismo V4 ini menghasilkan 168hp pada 10,750rpm dan 126Nm pada 7,500rpm. Lebih dari 80 peratus tork pula tersedia sebelum 4,000rpm.
Peralihan ke Granturismo V4 juga menyaksikan servis ‘valve clearance’ kini hanya perlu dilakukan setiap 60,000km.

Pakej brek pula merangkumi brek Brembo Stylema di hadapan yang dipadankan dengan cakera Brembo 330mm sementara bahagian belakang memuatkan brek Brembo 2-piston dengan cakera 265mm.
XDiavel 2025 ini juga dilengkapi dengan panel meter TFT 6.9-inci serba baharu yang menempatkan tiga mod kuasa dan empat mod menunggang. Sistem 6-axis IMU pula mengawal segala sistem elektronik termasuk cornering ABS, traction control, wheelie control, power launch, quickshifter dan cruise control.
GALERI: DUCATI XDIAVEL V4 2025







