
PROTON X70 EDISI KHAS 2021. 2 WARNA BAHARU, TERHAD 2,000 UNIT. RM123,800 SAHAJA
PROTON hari ini memperkenalkan varian baharu pada Proton X70 hari ini untuk meningkatkan lagi daya tarikan SUV segmen-C terlaris di Malaysia itu.
Terhad kepada 2,000 unit, Proton X70 Edisi Khas diposisikan sebagai model flagship dalam senarai jentera Proton. Ia hadir bersama pelbagai ciri baharu yang mewah dan warna istimewa.
Secara mekanikal, Proton X70 Edisi Khas mempunyai spesifikasi yang sama dengan varian Premium 2WD. SUV berkenaan masih menggunakan enjin 1.8L TGDi dan transmisi dwi-klac 7-kelajuan. Perbezaannya adalah pada pakej gaya luaran dan hiasan dalaman.

Proton X70 Edisi Khas didatangkan dalam warna baharu iaitu biru (Ocean Blue) dan merah (Ruby Red). Manakala bahagian bumbung, spoiler belakang dan cermin pintu diwarnakan hitam. Rekaan pada sport rim bersaiz 19 inci itu juga baharu. Emblem SE yang eksklusif dilekatkan pada bahagian belakang sebagai sentuhan terakhir.
Bagi memadankan warna hitam pada bahagian luar, ruang kabin turut diberi tona hitam bersama perincian mewah. Tempat duduknya kini dibalut kulit Nappa hitam yang lembut, selain kemasan dalaman dan karpet lantai khas SE yang baru.
Sama seperti Proton X70 yang lain, Proton X70 Edisi Khas dilengkapi Sistem Penulenan Udara Pintar PROTON (P-IAPS). Ia menawarkan kelebihan Penapis Kabin N95 dan sistem pembersihan udara untuk memberi perlindungan terhadap pencemaran udara.

SUV itu juga didatangkan bersama ciri-ciri keselamatan termasuk enam SRS bag udara dan Sistem Bantuan Pemandu
Termaju (ADAS) yang ditambah dengan sistem keselamatan aktif bagi mengurangkan risiko kemalangan, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan Kamera 360.
“Dengan penawaran Proton X70 Edisi Khas, PROTON dapat melebarkan sayapnya ke dalam pasaran lebih. Walaupun ia merupakan model keluaran terhad, kami yakin bahawa ia akan menarik minat pembeli kereta mewah yang sedang mencari SUV baru pada harga yang berpatutan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Roslan Abdullah.

Proton X70 Edisi Khas ditawarkan pada harga RM123,800 (di atas jalan tanpa insurans). Sehingga 31 Disember 2021, tertakluk pada ketersediaan, ia akan dijual bersama insentif cukai jualan PEMERKASA+ bernilai RM7,000.
Ia kini boleh ditempah secara dalam talian dari harga serendah RM99. Maklumat lebih lanjut, sila layari www.proton.com.
- BACA: FARIZON FX – TRAK PIKAP ANEH BUATAN GEELY. GUNA PLATFORM BOYUE PRO (PROTON X70)
- BACA: BETUL KE ALAT GANTI X70 LAMBAT? SAMPAI ADA PEMILIK HANTAR KEDAI POTONG?
- BACA: SULTAN JOHOR KURNIA X70 KEPADA 3 DOKTOR
- BACA: WANITA MAUT PROTON X70 DIPANDU BAPA TERHUMBAN KE BAWAH JAMBATAN
GALERI