Artikel Pilihan

APA YANG BERBEZA ANTARA KERETA SEGMEN A, B, C & D?

Persamaan antara semua kereta atau kenderaan dalam semua segmen di atas ialah ada 4 tayar dan ada bumbung. Perbezaan yang ketara pula ialah dari segi saiz luaran dengan segmen A seperti Axia nampak kecil molek manakala segmen D seperti Accord nampak besar gedabak.

Kalau kita tengok perbandingan fizikal, mungkin banyak lagi ciri-ciri lain yang kita boleh nampak. Tapi kali ini kami akan senaraikan perbezaan kereta yang berlainan segmen A, B, C, D dan juga segmen yang lebih besar dan mewah.

Turbocaj, direct injection dan 7 kelajuan DSG

1. Enjin dan transmisi- saiz enjin yang digunakan dalam setiap kategori adalah berbeza dari segi sesaran (cubic capacity) dan juga kuasa yang dihasilkan. Trend ini juga turut diikuti oleh kenderaan elektrik, dengan segmen yang lebih besar akan menggunakan bateri yang lebih berkuasa dan bilangan motor yang lebih banyak

Kereta segmen yang lebih besar dan mewah juga akan dipasang dengan pelbagai teknologi enjin yang baru dari segi bahan buatan, teknologi pembakaran, lebih bersih, berkuasa dan menjimatkan. Segmen A dan B biasa menggunakan transmisi 4 kelajuan automatik, 6 kelajuan automatik dan CVT

Bagi segmen yang lebih besar dan mahal, transmisi 6 kelajuan automatik adalah biasa, diikuti dengan 7 atau 8 kelajuan automatik, dan juga 7 atau 8 kelajuan klac berkembar. Bagi sesetengah jenama, teknologi enjin akan digabungkan dengan teknologi elktrifikasi hibrid bagi menghasilkan lebih banyak kuasa.

Double Wishbone Suspension pada Camry

2. Sistem cesi – yang merangkumi sistem stering, brek dan juga suspensi adalah berbeza. Contohnya seperti stering, contohnya walaupun menggunakan stering berkuasa elektrik tapi dari segi “fine tuning” dan feel stering adalah berbeza. Biasanya segmen yang lebih mahal akan ditala dengan lebih teliti dari segi hardware dan juga software. Biasa stering segmen A kurang feedback dan memandu laju memerlukan konsentrasi tinggi

Dari segi brek pula, segmen A akan menggunakan brek belakang dari jenis drum manakala segmen yang lebih mahal akan menggunakan brek cakera di roda belakang. Bukan itu saja, segmen yang lebih mahal akan memiliki lebih banyak sistem elektronik bantuan brek seperti Auto Brake Hold dan Agile Handling Assist.

Bagi sistem suspensi, segmen A akan menggunakan rekaan torsion beam yang lebih ringkas yang akan dipadankan dengan bar penstabil. Bagi segmen yang lebih mewah, ia akan menggunakan double wishbone atau MultiLink.

Honda Sensing

3. Sistem keselamatan – walaupun model segmen A dan D menggunakan sistem pintar brek automasi, namun perbezaan utama ialah pakej yang berada dalam sistem tersebut. Sebagai contoh Myvi dan Vios hanya dibekalkan dengan amaran pra-perlanggaran dan brek pra perlanggaran serta beberapa modul pintar keselamatan yang lain seperti Lane Departure Alert

Manakala Toyota Camry pula hadir dengan tambahan Lane Departure Alert with Stering Assist, Dynamic Radar Cruise Control dan juga Automatic High Beam. Setakat ini Ativa AV boleh dipuji kerana ia hadir dengan ciri dengan semua ciri keselamatan yang ada pada kereta mahal termasuklah Adaptive Driving Beam.

4. NVH – Noise Vibration & Harshness merupakan antara perbezaan terbesar antara segmen A dengan segmen yang lebih besar. Biasa kereta dalam segmen D akan dilengkapkan dengan material kedap bunyi yang lebih bagus serta datang dengan teknologi khusus untuk membatalkan gelombang bunyi.

Bagi segmen A, bunyi yang paling kuat datang daripada tayar, angin dan juga bunyi enjin kerana penggunaan bahan kedap bunyi adalah minima. Isu getaran pula boleh dirasai pada roda stering dan kadangkala boleh sampai ke kerusi disebabkan segmen A banyak menggunakan enjin 3 silinder yang tidak harmoni

Faktor Harshness pula boleh dikesan apabila kereta melalui jalan tidak rata atau berbonggol. Biasa kereta segmen D akan menggunakan penyerap hentak yang lebih baik dan getah pelapik berkualiti pada komponen suspensi yang akan menyerap segala gegaran. Dalam aspek ride& handling, kereta keluaran Proton boleh dipuji walaupun model asas seperti Saga

5. Ergonomik – adalah kajian berkenaan manusia dan persekitaran bekerja. Dalam kes automotif, ia kajian bagaimana memastikan pemandu boleh duduk memandu tanpa rasa penat. Dalam aspek pemanduan ia meliputi bagaimana tangan mencapai stering, tombol gear, kaki menggunakan pedal minyak dan brek serta kedudukan badan

Berdasarkan pengalaman penulis, kebanyak kereta segmen A memang teruk dari aspek ergonomik. Untuk menjimatkan kos, kedudukan stering adalah tetap, pedal kadangkala terjojol keluar, tombol gear jauh untuk dicapai, dan rekaan kusyen adalah tidak memuaskan

Mungkin jika anda masih muda, itu tidak menjadi masalah untuk memandu selama 6-8 jam tanpa berhenti. Tapi semakin usia anda meningkat, memandu kereta segmen A adalah ibarat penderaan emosi dan fizikal yang mencabar. 2 jam sekali mesti anda perlu berhenti rehat atau mencari “oksigen”, jauh berbeza jika anda memandu kereta dari segmen C atau D.

Sebenarnya antara faktor yang menghadkan pengeluar daripada menghasilkan kereta segmen A yang betul-betul sedap dipandu ialah faktor kos. Seperti yang kita tahu kereta segmen A ini ialah segmen mampu milik, jadi pengeluar perlu mengimbangkan antara kos dan juga ciri-ciri kenderaan yang ditawarkan.

Bagi segmen B, ia biasanya lebih baik sedikit berbanding dengan segmen A. Manakala bagi segmen C dan D yang pastinya melebihi harga RM 100,00 memang akan dipasang dengan semua ciri dan teknologi terbaik yang boleh ditawarkan

Google ads
Back to top button