Buletin

RENAULT CAPTUR 2020 – SUV SEGAK SEGMEN B

Renault sehingga kini tidak mengalah dalam memasarkan produk mereka di pasaran tempatan. Contohnya Megane R.S., pasaran hatchback sport begini sangat kecil tetapi ia boleh dibeli dari bilik pameran Renault tempatan.

Untuk pasaran kereta massa pula, Renault menawarkan Captur, SUV segmen B yang bersaing dengan Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Toyota C-HR.

Captur tampil menarik dan sedap untuk dipandang. Harganya sekitar RM110,000 dan sepadan dengan pesaing. Di Eropah, Captur ialah SUV segmen B terlaris di pasaran.

Setelah berada di pasaran sejak 2013, Renault mempamerkan model serba baharu pada Pameran Kenderaan Frankfurt 2019, September lalu.

Satu perkara tentang Captur generasi pertama ialah walaupun enam tahun di pasaran, reka bentuknya masih segar seperti baru dilancarkan.

Model generasi kedua nampaknya bakal meneruskan kecemerlangan itu dengan reka bentuk menarik luar dan dalam.

Captur ini dibina atas platform CMF-B dan model kedua selepas Clio baharu. Platform itu juga turut dikongsi oleh rakan Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi.

Dari segi saiz, panjang keseluruhan 110mm lebih daripada model sebelum seterusnya memberikan ruang ekstra untuk penumpang dan isian bagasi.

Ruang kaki penumpang belakang bertambah 17mm manakala saiz but meningkat 81 liter kepada 536 liter.

Untuk pasaran United Kingdom ada lima pilihan enjin seperti berikut:

  • TCe 100 tiga silinder 100hp dan 160Nm – standard dengan transmisi lima kelajuan
  • TCe 130 130hp dan 240Nm – pilihan transmisi enam kelajuan manual atau tujuh kelajuan EDC (Efficient Dual Clutch)
  • TCe 155 155hp dan 270Nm – eksklusif dengan transmisi tujuh kelajuan EDC 
  • 1.5L diesel dCi 95 95hp dan 240Nm – eksklusif dengan transmisi enam kelajuan manual 
  • 1.5L diesel dCi 95 115hp dan 260Nm – pilihan transmisi enam kelajuan manual atau tujuh kelajuan EDC
Renault Captur 2017

Menyentuh tentang teknologi keselamatan, kesemua varian Captur dilengkapi Lane Departure Warning and Lane Keep Assist, Traffic Sign Recognition with Speed Alert, Active Emergency Braking System with Cyclist and Pedestrian Detection.

Berkenaan harga, Renault Captur dijual dari GBP£17,595 (RM94,991) bagi varian asas Play TCe 100 sehingga GBP£24,795 (RM133,862) untuk varian premium S Edition dCi 115 EDC.

Setelah dilancarkan di Eropah, adakah model baharu bakal dijual di pasaran tempatan?’

Kami belum dapat mengesahkannya namun apa yang pasti saingan SUV segmen B pasti menarik dengan penjualan Proton X50 dan SUV baharu Perodua.

Google ads
Back to top button