Buletin

RENAULT TRIBER, SUV KECIL 7 TEMPAT DUDUK (PENDEK DARIPADA PERODUA BEZZA)

Kereta kompak biasa dikaitkan dengan pengeluar Jepun terutama sekali di negara matahari tersebut dan menghidupkan budaya kei-car.

Hakikatnya ialah pengeluar Eropah tidak kurang hebat apabila berpuluh tahun dahulu pengeluar Jepun mendapatkan khidmat studio reka bentuk Itali bagi mereka bentuk kereta kompak mereka.

Eropah sendiri mempunyai model kompak ikonik seperti Mini Cooper, Fiat 500 dan Volkswagen Golf generasi awal.

Permintaan terhadap kereta kompak tidak pernah surut dan lihat angka jualan di negara kita dan Indonesia.

Permintaan untuk kereta begini terus berevolusi sehingga lahirnya segmen SUV kompak dengan enam dan tujuh tempat duduk.

Contoh model yang dimaksudkan ialah Toyota Calya, Daihatsu Sigra dan Dastun Go+.

Sebagai perspektif, Calya dan Sigra berkongsi platform dengan Perodua Axia dan dikuasakan oleh enjin 1.0 liter dan 1.2 liter.

Tawaran untuk segmen ini semakin bertambah apabila Renault melancarkan SUV kompak Triber dengan tujuh tempat duduk di India.

Menurut Renault, Triber direka dan dikeluarkan khusus untuk pasaran India. Walaupun begitu laman Instagram Renault Indonesia turut melaporkan pelancarannya seakan memberi satu bayangan.

Saiz Triber memang kompak dengan ukuran tidak lebih daripada empat meter. Sebagai perbandingan ukuran Perodua Bezza ialah 4.15 meter.

Triber sebenarnya lebih mirip kepada kereta kompak Renault Kwid yang dipanjangkan dan turut dipasarkan di India dan Indonesia.

Jika Triber berada di dalam segmen sama dengan Calya, Sigra dan Go+, Kwid pula bersaing dengan Suzuki Alto.

Meskipun berada dalam kategori kereta ekonomikal, Renault melengkapi Triber dengan perkakasan canggih seperti meter digital dan skrin sesentuh lapan inci pada papan pemuka.

Dari segi enjin pula hanya satu jenis ditawarkan iaitu 1.0 liter tiga silinder berkuasa 72 hp dan 96 Nm. Transmisi pula adalah lima kelajuan manual atau AMT.

Berikut ialah spesifikasi ringkas Renault Triber:

  • Direka untuk tujuh penumpang dewasa
  • 3990 mm (P) x 1739 mm (L) tanpa cermin sisi x 1643 mm (T) tanpa rel bumbung
  • Berat 947 kg
  • Saiz ruang kargo 84 L (tujuh tempat duduk), 320 L (enam tempat duduk), 625 L (lima tempat duduk)
  • Rel bumbung boleh menampung berat sehingga 50 kg
  • Corong penyaman udara untuk setiap baris kerusi
  • Kotak simpanan papan pemuka dengan penyejuk untuk minuman
  • Empat beg udara

Untuk tiga tahun akan datang Renault mensasarkan untuk meningkatkan jualan sebanyak sekali ganda kepada 200,000 unit setahun.

Triber akan dikilangkan di Chennai dan akan menemui pelanggan pada setengah tahun kedua 2019 dengan harga yang kompetitif.

Walaupun Triber ini dikhususkan untuk pasaran India dan mungkin Indonesia kami berpendapat Renault mempunyai prestij tersendiri untuk menjualnya di negara kita.

Google ads
Back to top button