Buletin

3 FALSAFAH DALAM RENAULT MÉGANE R.S. TROPHY-R

Rekod kereta produksi pacuan roda depan (FWD) di Nürburgring memang lama dipegang oleh Honda Civic Type R.

Akhirnya pada 5 April 2019, Renault MEGANE R.S. TROPHY-R berjaya mencatatkan rekod baharu di Nürburgring dengan catatan masa 7 minit 40.1 saat.

Honda Civic Type R mencatat rekod pada tahun 2017 dengan masa 7 minit 43.8 saat.

Berita tersebut ternyata menggemparkan peminat kereta berprestasi dunia.

Namun apakah rahsia di sebalik kejayaan tersebut?

Pertama sekali di dalam tempoh 11 tahun lalu model Mégane bukan nama asing di dalam catatan masa di Nürburgring.

Catatan masa terpantas dimulakan oleh Megane R26.R pada tahun 2008, Megane RS 265 Trophy pada 2011 dan Megane RS 275 Trophy-R pada 2014.

Ini adalah rekod keempat yang membuktikan Megane sememangnya jagoan di Nürburgring.

Renault pada 5 Julai lalu telah mendedahkan tiga pendekatan utama di dalam pencapaian terbaru dan menariknya bukan pada kelajuan semata-mata.

Tiga pendekatan tersebut ialah:

  1. Pengurangan berat
  2. Memaksimumkan kecekapan aerodinamik
  3. Sistem suspensi lebih radikal

Pendekatan ini adalah identiti utama Renault Sport iaitu keutamaan kepada kelajuan dalam melalui selekoh berbanding prestasi di jalan lurus.

Aspek pengurangan berat benar-benar menjadi dengan 130 kilogram berjaya dikurangkan. Ini adalah satu faktor besar di dalam kereta berprestasi.

Berat kasar kereta ini hanyalah 1650 kilogram dan digabungkan pula dengan enjin 1.8 liter turbo berkuasa 300 PS dan 400 Nm ia benar-benar ibarat sebuah peluru di atas jalan raya.

Pecutan 0 hingga 100 km/j mengambil masa 5.4 saat dan kelajuan maksimum ialah 262 km/j.

Berikut ialah di antara komponen yang membantu dalam pengurangan berat Renault MEGANE R.S. TROPHY-R:

  • Bonet komposit karbon: Hanya 8 kg dan separuh daripada berat bonet besi asal. Dua bahan binaan utama ialah gentian kaca dan gentian karbon. Logo Renault pada gril adalah jenis berongga yang biasa digunakan pada model Renault yang mempunyai teknologi kawalan jelajah adaptif.
  • Peresap (diffuser) belakang daripada karbon: Bukan sahaja ringan, peresap ini juga membantu dalam menghasilkan lebih daya mendapan
  • Roda aloi: Roda aloi Fuji Light saiz 19 inci membantu dalam mengurangkan berat sebanyak 2 kg setiap satu. Roda pilihan Carbon Revolution pula mengurangkan lagi 2 kg setiap satu unit.
  • Ekzos titanium Akrapovič: Ekzos ini menyumbang kepada pengurangan berat sebanyak 6 kg dan ia direka bagi mematuhi peraturan bunyi jalan dan litar. Ia juga direka supaya dapat disatukan dengan sempurna mengikut aerodinamika peresap belakang. Hubungan Akra dengan Renault Sport bermula pada model Megane R.S. 275 Trophy lagi.

  • Gandar belakang khas: Penggunaan komponen khas ini berjaya mengurangkan berat sebanyak 32 kg berbanding model Trophy. Sumbangan terbesar adalah  daripada pengguguran sistem 4CONTROL (Roda belakang turut sama membelok sepadan atau berlawan berdasarkan kelajuan).
  • Pilihan liang kemasukan udara: Aksesori pilihan yang menggantikan lampu dan mengalirkan udara terus pada kemasukan udara enjin.
  • Bateri prestasi tinggi DESS: Bateri pilihan lithium (Dual Energy Storage System) menawarkan penjimatan berat sebanyak 4.5 kg
  • Kerusi perlumbaan Sabelt komposit: Penjimatan berat yang diperolehi ialah sekitar 7 kg setiap kerusi.
  • Tanpa kerusi belakang: Penjimatan berat sebanyak 3 kg dan tambahan 1.3 kg dengan pengunaan penutup lantai lebih nipis pada ruang but
  • Kaca lebih nipis, tanpa tingkap kuasa dan penggilap belakang: Cermin pada bahagian sisi depan dan belakang lebih nipis dan ringan yang menyumbang kepada penjimatan 1 kg. Pintu belakang dipasangkan cermin tetap tanpa penggunaan motor berkuasa dan komponen berkaitan. Penggilap cermin belakang dan segala komponen yang ditanggalkan pula memberi penjimatan berat sebanyak 3 kg.
  • Skrin infohibur tujuh inci: Skrin asal 8.7 diganti dengan skrin tujuh inci yang memberi penjimatan berat sebanyak 250g. Kamera undur masih dikekalkan supaya dapat membantu dalam mengundur dan merosakkan peresap gentian belakang.

MÉGANE R.S. TROPHY-R adalah model terhad dan hanya dikeluarkan sebanyak 500 unit sahaja untuk edaran peringkat global.

Di dalam 500 unit tersebut, 30 daripadanya lebih eksklusif dengan spesifikasi khas iaitu tambahan empat roda karbon kepada set rim standard Fuji Light.

Dua lagi komponen khas ialah cakera brek depan seramik dan kemasukan udara yang menggantikan lampu pada bahagian bampar.

Jika anda meminati MÉGANE R.S, model ini sudah boleh dibeli di negara kita pada harga sekitar RM300,000.

Andai kata MÉGANE R.S. TROPHY-R dibawa kelak kami tidak pasti harganya kerana model ini ialah versi hardcore yang tinggal dipasangkan rollcage sahaja lagi!

Tags
Google ads
Back to top button