ROBOT TERBESAR DI KILANG, PASANG KOMPONEN TERBERAT UNTUK SEAT S.A
Satu daripada resepi kejayaan pengeluar kenderaan ialah sistem pengilangan yang bagus, cekap dan sistematik. Mempunyai kereta yang cantik sahaja tidak memadai jika pengeluaran tidak sepadan dengan apa yang dipersembahkan kepada pelanggan.
Supaya lebih konsisten dan cekap, pengeluar banyak bergantung kepada robot untuk kerja-kerja pemasangan kenderaan.
Robot-robot ini tugasnya pelbagai, dari pengangkut komponen, mengecat dan mengimpal yang dahulunya dibuat oleh manusia.
Bercakap mengenai robot, kilang SEAT S.A di Martorell, Sepanyol mempunyai ‘pekerja’ baharu yang juga robot terbesar di pusat pengeluaran tersebut.
Ukuran tingginya lebih dari dua meter setengah dengan berat tiga tan. SEAT memang bergantung kepada robot dan mempunyai ribuan lagi untuk melakukan pelbagai kerja.
Proses pemasangan sesebuah kereta melibatkan komponen dengan berat sehingga ratusan kilogram.
Dengan ketinggian hampir tiga meter, robot terbaru ini mampu memasang tiga komponen terberat sesebuah kereta iaitu bahagian tepi dengan berat hampir 400 kilogram.
SEAT mempunyai dua robot gergasi dan ada 2,200 lagi robot serta 1,700 pekerja dan koordinasi yang diperlukan sangat penting.
Selain robot terbaru ini, SEAT memiliki robot dengan keupayaan mengangkat beban sehingga 700 kilogram.
Tugas robot memang menarik, bukan sahaja boleh memasang komponen yang berat tetapi juga berupaya memindahkannya ke stesen lain sebagai contoh tempat kimpalan tanpa bantuan robot lain.
Robot itu mampu membawa 400 kilogram beban dengan jarak hampir empat meter dari paksi utamanya.
Secara ringkas, siap kerja, pindah, siap kerja pindah dan begitulah tugasnya secara berterusan.
Satu lagi kelebihan robot ialah tempoh operasi yang berterusan berbanding tenaga kerja manusia.
Walaupun lebih di situ, robot dan mesin masih memerlukan penyelenggaraan dan mengalami kerosakan.
Di sebalik kelemahan itu, penggunaan robot tetap kritikal kerana mampu menghasilkan output secara konsisten dan aspek penting dalam pengilangan dan kualiti.
SEAT menangani cabaran itu melalui teknologi. Robot di kilang SEAT dilengkapi perisian yang membolehkan pengawasan dibuat.
Di antara data yang tersedia dari perisian ialah kadar penggunaan motor, suhu, daya kilas dan kecepatan (acceleration).
Menurut Ketua Robotik SEAT, Miguel Pozanco, melalui analisa data tersebut mereka boleh menjangkakan kejadian yang tidak dijangka.
Dari data tersebut, penyelenggaraan jangkaan (predictive maintenance) boleh dibuat dan seterusnya mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Walaupun dunia pengeluaran kenderaan hari ini serba canggih masih ada kilang yang menggunakan kaedah konvensional atau bergantung kepada manusia.
Sebagai contoh kilang pemasangan secara terurai (CKD) dengan jumlah pengeluaran kecil.
Tidak berbaloi untuk melabur dalam robot dan mesin berkos tinggi dan di sinilah keanjalan dan dinamika pengilangan kenderaan. Ianya memang seronok untuk dipelajari!
BACA: SEAT BUAT MOTOR, MÓ eScooter 125 GUNA KUASA ELEKTRIK
BACA: INI CARA SEAT CAT KERETA – 6 JAM BARU SIAP!
BACA: SEAT GUNA DRON HANTAR KOMPONEN KERETA, JIMAT MASA
BACA: TAHUKAH ANDA KOTAK GEAR MANUAL MQ281 DIKELUARKAN OLEH SEAT, BUKAN VW