BuletinMotosikal

RICKY BRABEC JUARA RALI DAKAR, KEMENANGAN PERTAMA HONDA SEJAK ’89

Perlumbaan Rali Dakar sememangnya satu acara permotoran yang mencabar. Tempoh dan jarak panjang, cuaca panas dan persekitaran padang pasir memberikan cabaran tersendiri kepada semua yang terlibat dari penganjur sehingga pasukan pelumba.

Perlumbaan Rali Dakar kali pertama dianjurkan pada 1979 dan tahun ini adalah edisi ke-42. Ia terkenal sebagai acara sukan paling merbahaya di dunia.

Perlumbaan tahun ini dilangsungkan di Arab Saudi dari 5 hingga 17 Januari yang merangkumi 12 peringkat (stages) bagi mengharungi hampir 7,900 km.

Perlumbaan telah pun tamat dan pemenang kategori motosikal tahun ini ialah Ricky Brabec dari pasukan Monster Energy Honda. Beliau menunggang Honda CRF450 RALLY.

Pemuda berusia 28 tahun itu berasal dari Amerika Syarikat dan pertama kali berlumba dalam Rali Dakar pada 2016 bersama pasukan HRC menjadikan penyertaan ini kali yang kelima.

Ricky Brabec membuka tirai Rali Dakar 2020 dengan baik selepas menang Peringkat Ketiga, beliau konsisten dalam peringkat seterusnya dan akhirnya menjuarai perlumbaan.

Suatu yang manis apabila kemenangan itu adalah kali pertama untuk Honda dalam tempoh 31 tahun selepas memenanginya pada 1989.

Dua lagi pelumba iaitu José Ignacio Cornejo menamatkan perlumbaan di tempat keempat manakala Joan Barreda di tempat ketujuh yang menjadikan tiga pelumba Monster Energy Honda di kelompok sepuluh terbaik.

Honda pertama kali bertanding dalam Rali Paris-Dakar edisi ketiga pada tahun 1981. Kejuaraan pertama diraih pada 1986 menggunakan motosikal NXR750 dan selepas itu mengulangi kejayaan selama dua kali berturut-turut sehingga 1989.

Honda kemudian menarik diri untuk satu tempoh yang lama dan kembali semula pada 2013 di Amerika Selatan menggunakan motosikal CRF450 RALLY.

Dari 2013, Honda menduduki kelompok sepuluh terbaik dengan dua kali di tempat kedua pada 2015 dan 2018. Tahun lalu Honda menduduki tempat ketujuh dan tahun ini bangkit luar biasa dengan menjuarai perlumbaan.

Dengan keputusan ini Honda membuka tirai 2020 dengan langkah kanan. Lebih mengujakan sekiranya Honda dapat sekali lagi memenangi MotoGP pada tahun ini seterusnya menguasai perlumbaan padang pasir dan litar!

Kredit foto: Honda

Google ads
Back to top button