Buletin

HARGA NISSAN GT-R 50TH ANNIVERSARY EDITION DAH KELUAR – RM483K!

Sebelum ini kami pernah laporkan tentang model istimewa Nissan GT-R 50th Anniversary Edition yang diperkenalkan semasa Pameran Kenderaan Antarabangsa New York 2019.

Kini Nissan telah mengesahkan harga model tersebut di United Kingdom iaitu £92,995 (RM483,467).

Nissan juga memaklumkan hanya 50 unit sahaja ditawarkan di Eropah dengan 18 unit daripadanya adalah versi pemanduan kanan untuk pasaran United Kingdom.

Penghantaran pertama kepada pelanggan akan dibuat pada Ogos depan.

Di antara ciri menarik dan nostalgik pada edisi ini ialah kembalinya warna Bayside (Wangan) Blue selepas ditamatkan pada model R34 GT-R dan sebagai identiti khas, kesemua edisi ulang tahun ke-50 pasaran Eropah didatangkan dalam warna tersebut.

Ciri lain pada edisi ulang tahun ialah roda aloi baharu berukuran 20 inci dengan kemasan biru pada rongga dan logo 50th Anniversary.

Model istimewa ini dinaik taraf daripada varian GT-R Prestige dengan tema dalaman berwarna kelabu pada beberapa bahagian seperti stereng dan tombol gear.

Selain GT-R, Nissan turut mengumumkan sebuah lagi model sambutan istimewa iaitu 370Z 50th Anniversary Edition pada harga £38,995 (RM202,729) dengan unit terhad pemanduan kanan sebanyak 22 unit sahaja di UK.

Jika ada pengimport bebas yang membawa masuk GT-R 50th Anniversary Edition ke pasaran tempatan berapakah pula harganya?

Model facelift tahun 2017 pun dijual pada lingkungan harga setengah juta!

Untuk rekod Nissan Motor Thailand menawarkan GT-R bermula Mac tahun lalu. Harganya? THB 13.5 juta untuk versi Premium atau bersamaan RM 1.82 juta sekarang ini.

*£1 = RM5.20

*THB1 = RM0.13

Google ads
Back to top button