PADA 1999, NISSAN ALMERA GEN-2 DIPERKENAL DI UK
Nissan Almera adalah kereta penumpang segmen B yang popular di negara kita. Model yang dipasang di kilang milik Edaran Tan Chong Motor Assemblies di Serendah ini diperkenalkan pada bulan Oktober 2012.
Salah satu mengapa Almera popular ialah ruang bahagian penumpang belakang dan but begitu besar sehingga menyaingi kereta penumpang segmen C.
Satu lagi punca populariti Almera ialah harga rendah untuk sebuah jenama import. Semasa dilancarkan Almera dijual dari RM65,000 hingga RM77,500.
Almera yang dilancarkan di negara kita dan banyak pasaran ASEAN lain adalah generasi ketiga dan ia juga adalah model global yang turut dijual di Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.
Sejarah Almera sememangnya panjang dan ia bermula pada tahun 1995. Model ini menggantikan Sunny, nama yang digunakan hampir 30 tahun.
Almera generasi pertama adalah model sama dengan Nissan Pulsar (N15) yang dijual di Jepun.
Berbeza dengan Almera yang dikenali di Malaysia, Almera hadir dalam bentuk hatchback tiga dan lima pintu selain bentuk sedan.
Satu lagi perkara menarik ialah model ini mempunyai varian sporti dikenali Almera GTi dengan enjin SR20DE.
Pada tahun 1999. Almera generasi kedua diperkenalkan di United Kingdom dan mula dijual pada Mac 2000.
Ini adalah sejarah besar untuk Nissan kerana buat pertama kali syarikat Jepun itu mengeluarkan sebuah model segmen C yang dibuat Eropah.
Almera generasi kedua dibangunkan secara khusus untuk pasaran Eropah dan juga merupakan model Eropah pertama menggunakan platform global Nissan iaitu SM yang juga projek pertama selepas kerjasama dengan Renault.
Platform SM yang sama akan turut digunakan untuk membangunkan Almera khusus bagi pasaran Jepun dan Amerika Utara.
Almera pasaran Eropah merupakan projek besar dan melibatkan kesemua sumber reka bentuk dan kejuruteraan global Nissan.
Pembangunan Almera melibatkan kepakaran pusat reka bentuk UK dan Jerman dan pusat kejuruteraan UK dan Belgium.
Dari awal lagi Almera generasi kedua direka untuk pasaran Eropah dengan penglibatan utama pusat reka bentuk Nissan Eropah dalam proses penggayaan daripada persediaan lakaran sehinggalah model produksi akhir.
Selain itu, sejumlah perunding reka bentuk dari Itali dan Jerman turut terlibat dengan rapat dalam konsep projek ini.
Almera model tiga dan lima pintu dikeluarkan di kilang Nissan di Sunderland (NMUK) yang pada masa itu kilang paling cekap dan produktif di Eropah.
Kenapa projek Almera begitu penting? Satu sebabnya ialah ia bakal bersaing di dalam segmen C di Eropah yang begitu sengit seperti Volkswagen Golf.
Serentak dengan itu Almera hadir dilengkapi pelbagai inovasi seperti navigasi tiga dimensi, penahan kepala aktif anti senggukan (anti-whiplash head restraints) dan enjin petrol serta diesel yang mematuhi piawaian ketat Suruhanjaya Eropah untuk tahun 2000 dan ke atas.
Satu lagi keistimewaan Almera pasaran Eropah ialah dua beg udara di hadapan dan dan beg udara sisi pada kerusi depan.
Memenuhi konsep model Eropah untuk Eropah, enjin QG15DE 1.5 dan QG18DE 1.8 petrol dipasang di NMUK manakala enjin baharu Di 2.2 liter diesel turbo di pasang di kilang enjin Nissan yang terletak di Madrid, Sepanyol.
Walaupun Almera begitu gah proses pembangunannya namun model ini hanya bertahan sehingga tahun 2006 sahaja dan tamat disitu tanpa pengganti baharu.
Di pasaran lain, segmen C digantikan oleh Nissan Latio yang turut dipasarkan di negara kita.
Nissan adalah pengeluar yang pandai, vakum yang ditinggalkan Almera di UK dan Eropah sebenarnya digantikan oleh SUV Qashqai pada tahun 2006 yang begitu popular sehingga hari ini.
Pada Disember 2007, jualan Qashqai di Eropah adalah sekitar 100,000 unit dan lebih menakjubkan apabila jualan kumulatif di benua tersebut melebihi 1.24 juta unit selama 7.5 tahun produksi.
Keputusan Nissan untuk keluar daripada persaingan terus dalam segmen C sedan dan hatchback adalah tepat.
Benda dah ada Qashqai, buat apa guna Almera untuk lawan Volkswagen Golf?
Selain itu, prestij Almera yang dibina pada generasi pertama dan kedua bakal kembali dengan Versa atau Almera generasi keempat yang serba menawan dan canggih.