SANGGUP KELUAR DUIT RM586K UNTUK MINI KLASIK
Mini Cooper merupakan antara kereta klasik paling ikonik pernah dibangunkan dalam sejarah automotif dunia.
Justeru, tidak hairanlah ia mendapat pemintaan tinggi daripada penggemar kereta klasik.
Bahkan, pada zaman ini, restomod menjadi kegilaan ramai dan terdapat sebuah syarikat yang terkenal dalam kaedah pembikinan trend baharu itu iaitu David Brown Automotive.
Syarikat itu bertanggungjawab dalam ‘melahirkan’ Mini Remastered Oselli Edition.
Kereta tersebut merupakan yang pertama daripada 60 unit dalam meraikan 60 tahun Mini.
Unit pertama Oselli Edition telah diserahkan kepada pelanggan yang berada di Scandinavia.
Sebuah Mini Remasteres Oselli Edition mengambil masa kira-kira 1,400 jam untuk dibina dan penghantaran kepada para pelanggan dijangka mengambil masa.
Model pertama itu mendapat sentuhan warna kelabu (Carbon Grey) dipadankan asen hijau (Heritage Green).
Model-model lain pula akan didatangkan warna seperti putih (Old English White) dengan asen merah (Competition Red) atau biru (Royal Blue).
Grafik ruang dalaman pula diwarnakan dengan penuh terperinci melalui hasil tangan.
Kereta klasik tersebut mendapat khidmat enjin A-series yang mampu menjana kuasa mencecah 125 hp dipadankan transmisi manual lima kelajuan.
Ia berupaya memecut 0-100 km/j dalam tempoh 7.8 saat.
Ciri-ciri lain termasuk brek AP Racing, sistem ekzos aliran bebas, suspensi Bilstein, rim aloi 13 inci dengan rekaan klasik Mini.
Ruang dalaman Oselli Edition yang menempatkan empat tempat duduk itu dibaluti kulit dan upholsteri Alcantara menyerlahkan sisi premium kereta klasik berkenaan.
Oselli Edition dijual pada harga AS$140,000 (RM 586,110) boleh didapati di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia. –carbuzz