
MINI COOPER SESAT MASUK LITAR KETIKA PERLUMBAAN. SALAH SIAPA?
Litar Interlagos, Sao Paolo, Brazil merupakan antara lokasi yang melakar pelbagai sejarah sukan pemotoran dunia.
Autodromo Jose Carlos Pace pernah menjadi saksi kepada perlumbaan-perlumbaan menakjubkan malah banyak pelumba Formula 1 dinobatkan sebagai juara di litar ini.
Begitupun, terdapat satu lagi kisah tidak dapat dilupakan peminat sukan pemotoran apabila sebuah Mini Cooper dikatakan tersesat sehingga memasuki litar penuh bersejarah ini.

Mini Cooper itu memasuki litar ketika perlumbaan Sao Paulo Automobile Championship sedang berlangsung sehingga ia menjadi viral di media sosial.
Perlumbaan khas melibatkan jentera model Mercedes-Benz itu pada mulanya berjalan dengan lancar, sehingga Mini Cooper tersebut memasuki litar.
Berikutan insiden berkenaan, jentera keselamatan terpaksa dibawa masuk dalam perlumbaan.
Pemandu Mini Cooper tersebut yang dikenali sebagai Renata Monti memberitahu UOL, dia pada mulanya mengambil bahagian dalam perlumbaan drag bersebelahan litar Intergalos.
Bagaimanapun, wanita tersebut tersesat sehingga memasuki litar perlumbaan Sao Paulo Automobile Championship.

“Saya bersama teman lelaki pergi ke acara Forbidden Races untuk menyaksikan dua rakan kami, tetapi kereta salah seorang daripada mereka rosak dan tidak dapat mengambil bahagian dalam perlumbaan.
“Walaupun majoriti penonton yang hadir ialah lelaki, saya nampak dua peserta perempuan mengambil bahagian dalam perlumbaan ini dan saya membuat keputusan untuk menyertainya,” kata Monti.

Wanita berusia 29 tahun itu memberitahu ketika berada di litar, dia meminta bantuan jalan keluar dan dibawa ke pitlane untuk memudahkanya kembali ke lokasi perlumbaan drag.
Persatuan Automobil Sao Paolo berkata siasatan sedang dijalankan berhubung insiden terbabit. – carscoops.
- BACA: YOUTUBER TERKENAL ROSAKKAN MINI COOPER JCW SELEPAS 38 KILOMETER PEMANDUAN (VIDEO)
- BACA: SEJARAH MINI COOPER DARI AWAL HINGGA AKHIR – F1 PUN ADA PENGARUH MINI TAU (+VIDEO)
- BACA: LEMBU SESAT MASUK BILIK PAMERAN MAZDA DI SCOTLAND. KERUGIAN CECAH RM8,000
- BACA: ASAL USUL PERLUMBAAN. INGAT SUKA-SUKA BERLUMBA