Buletin

SEAT 1400, MODEL PERTAMA SEAT DAN BERHARGA RM3.3K!

SHARE

Apabila kami melaporkan tentang Geely Jiaji yang dikatakan sebagai model gantian Proton Exora masih kedengaran tentang keupayaan syarikat automotif nasional itu dalam mengeluarkan kereta sendiri. 

Sebenarnya isu keupayaan ini sudah 33 tahun kedengaran sewaktu Proton mula-mula mengeluarkan Saga. Hakikatnya Proton sudah berkali-kali membuktikan kemampuannya mengeluarkan kereta sendiri dan sepatutnya isu tersebut sudah boleh dianjak selepas menyebut benda sama lebih daripada tiga dekad.

Memandangkan Proton sekarang berada dalam rangkaian kumpulan Geely, ia adalah satu tindakan normal untuk menggunakan model yang sudah tersedia. Ini sebenarnya adalah amalan industri automotif.

Jika hendak dikaji secara mendalam, lihat kepada kumpulan Volkswagen dan bagaimana sejumlah keretanya sama ada model eksotik Lamborghini atau kereta rakyat seperti Skoda berkongsi perkakasan dengan model jenama lain dalam kumpulan sama.

Jika bercakap tentang jenama nasional atau lambang kemegahan sesebuah negara, dalam kumpulan Volkswagen ada satu jenama yang membawa kuat pengaruh tersebut, sama seperti Proton.

Jenama dimaksudkan ialah SEAT yang berasal dari Sepanyol. Di antara fakta menarik SEAT ialah eksportnya ke luar negara mencecah 80 peratus dengan kehadiran di lebih 80 buah negara di lima benua.

SEAT juga adalah pelabur terbesar penyelidikan dan pembangunan di Sepanyol dan pada tahun 2017 berjaya menjual hampir 470,000 buah kereta dengan perolehan lebih daripada 9.5 bilion euro.

SEAT menyambut ulangtahun ke-68 tahun ini dan usia tersebut sekali ganda lebih daripada Proton. Jika Proton ada Saga yang menjadi kebanggaan, SEAT pula memulakan langkah dengan model 1400.

Unit pertama SEAT 1400 dikeluarkan di kilang Zona Franca yang terletak di Barcelona pada 13 November 1953 dan genap 65 tahun pada hari ini. Unit pertama 1400 memegang nombor pendaftaran B-87.223 dan dipasarkan pada harga 117,000 pesetas atau bersamaan *GBP 616 / RM 3,331.

Pada masa itu, hanya lima buah 1400 dikeluarkan sehari sebelum ia meningkat dengan berkali ganda.

Model kebanggaan ini berjaya membina asas perniagaan kepada SEAT dan ia hadir dengan ciri-ciri cemerlang seperti empat pintu, enjin di hadapan, pacuan roda belakang dan menjadi pilihan segenap lapisan masyarakat dari rakyat kepada kerajaan dan juga sebagai teksi.

Enjin yang digunakan mempunyai empat silinder dengan sesaran 1,395cc dipadan bersama transmisi empat kelajuan manual dengan output kuasa 44PS dan kelajuan maksimum 125 km/j.

Bahagian luaran 1400 mempunyai pengaruh kenderaan Amerika Syarikat yang popular pada waktu itu dengan bahagian belakang bulat dan bonet panjang. SEAT turut memperkenalkan rekaan cermin depan one-piece dan sistem pemanas ke dalam pasaran automotif.

Selain nampak menarik, SEAT 1400 juga berkuasa dan mampu bergerak pada kelajuan 100 km/j dengan biasa. Ia dilengkapi tangki minyak 48 liter untuk pemanduan jarak jauh dan sepadan dengan penggunaan minyak 10.5 liter/100 km.

Model ini menerima sambutan hangat, sehingga tahun 1954 sebanyak 1,345 dikeluarkan dan ia baru permulaan. SEAT selepas itu mengeluarkan beberapa lagi siri seperti 1400 A pada 1954, 1400 B pada 1956 dan 1400 C pada 1960 yang diselang dengan beberapa versi istimewa.

Setiap siri keluaran hadir dengan beberapa penambahbaikan kepada reka bentuk dan prestasi dan memateri kedudukan SEAT.

SEAT juga berkembang maju, daripada 954 unit yang diserahkan kepada pelanggan pada penghujung 1954 pengeluaran terus meningkat pada tahun berikutnya kepada 3,000 unit dan menariknya 1400 dihasilkan menggunakan 100 peratus komponen tempatan.

Pada tahun 1956, 7,000 unit 1400 dikeluarkan dan meningkat kepada 10,000 unit setahun selepasnya. Dari angka jualan total pula sebanyak 98,978 unit SEAT 1400 berjaya dijual sepanjang tempoh produksinya.

Oh! SEAT 1400 ini sebenarnya adalah model rebadge daripada FIAT 1400 di mana pengeluar dari Itali itu mempunyai pegangan dan perkongsian teknologi bersama SEAT.

Macam pernah dengar bukan kisah seperti ini di negara kita?

BACA: SEAT CUPRA E-RACER – 680PS & GUNA MOTOR ELEKTRIK!

BACA: TAHUKAH ANDA TENTANG FUNGSI PELIK TETAPI GENIUS DALAM KERETA?

*1 GBP = 5.38

Tags
Google ads
Back to top button