Buletin

TAHUKAH ANDA TENTANG FUNGSI PELIK TETAPI GENIUS DALAM KERETA?

Semasa Proton Gen.2 dikeluarkan, banyak benda-benda baharu atau inovasi ditampilkan. Di antaranya ialah tempat letak cermin mata hitam di atas bingkai pintu pemandu, suis larasan cermin sisi di konsol tengah dan jam analog di bahagian tengah papan pemuka.

Ciri-ciri tersebut adalah satu kelainan dan mendahului zaman tetapi tidak digemari oleh pengguna dan kemudian ditukar oleh Proton.

Hakikatnya pereka kereta perlu dibiarkan bermain dengan inovasi dan walaupun tampak lucu tetapi ia sangat berguna. Sebagai contoh ialah cangkuk teh tarik (air bungkus) atau pengunci beg tangan seperti yang terdapat pada kenderaan Perodua.

Pengeluar kenderaan ternama juga mempunyai identiti dan idea pelik yang tersendiri dan kadang-kadang pemilik sendiri tidak mengetahui terdapat fungsi istimewa pada kereta mereka.

Sebuah syarikat pembuat video untuk pengeluar iaitu CitNOW telah membuat undian terhadap 2,000 pemandu di United Kingdom (UK) bagi mengetahui ciri-ciri ‘rahsia’ dan popular yang tidak diketahui oleh pengguna walaupun dilengkapi pada kenderaan mereka.

Ciri rahsia dan pelik ini termasuklah tempat meletak payung di sebalik pintu dan juga bekas untuk meletak pasu bunga. Iya benar, ada kereta yang boleh diletakkan pasu bunga.

Menurut CitNOW, mereka yang membeli kereta terpakai biasanya akan terkejut bila mengetahui fungsi rahsia tersebut. CitNOW juga memaklumkan satu pertiga pemandu akan menimbangkan untuk membeli kereta apabila melihat video yang dihantar oleh pengedar.

Untuk itu kajian mendapati 88 peratus pemandu Britain tidak mengendahkan iklan kereta atas talian jika tiada gambar atau video manakala 50 peratus responden mengatakan video penerangan kereta adalah penting dan mustahak sewaktu membuat keputusan pembelian.

72 peratus pemandu pula akan menimbangkan untuk pergi meninjau kereta terpakai jika mereka dibekalkan dengan video penerangan terlebih dahulu.

Dari situ CitNOW memainkan peranannya dalam membekalkan pengalaman visual bagi membantu pengedar membuat jualan.

Berikut ialah 10 kelengkapan rahsia popular menurut kajian CitNOW di kalangan 2,000 pemandu:

1.Volkswagen Golf GTI  – Tombol gear bola golf – 19.9%

Tombol gear bola golf untuk Golf GTI manual. Bagus juga, lucu pun ada. Kalau Perodua Kancil, apa agaknya yang boleh dipasangkan?

2. Volkswagen Beetle – Pasu bunga kecil – 14.6%

Ciri ini mula diperkenalkan lebih dari 50 tahun lalu. Jika tidak letak bunga pun tidak mengapa, boleh letak pen atau telefon Nokia ‘old school’ yang kecil macam 8810.

3. Vauxhall Corsa FlexFix Integrated Bike Rack – 12.4%

Kenapa kelengkapan ini tidak dipasangkan kepada kereta di negara kita? Rak basikal memang mahal dan lecel nak pasang dan buka semula.

Apa yang Vauxhall buat ialah pasangkan rak basikal dan disimpan di sebalik papan nombor belakang. Memang best!

4. SKODA – Tempat simpanan payung – 10.1%

Negara kita memang banyak hujan dan kenapa fungsi ini tidak dibuat pada kereta yang dijual di sini?

Skoda telah membuat satu slot disebalik kulit pintu dan ianya satu idea yang bagus, kemas dan genius. Ruang pun tidak sia-sia.

5. MINI – Lampu ambien – 9.8%

Ini pun menarik juga. Lampu dalam kereta boleh dilaras mengikut mood manakala logo MINI boleh dipancarkan ke permukaan jalan apabila pintu dibuka.

6. Honda – Kerusi magik – 9.7%

Memandangkan ramai pemilik Jazz di negara kita fungsi ini tidak berapa rahsia sangat. Walaupun ringkas tetapi ia adalah inovasi yang bermakna sebab banyak barang boleh disumbat ke bahagian kerusi belakang. Fungsi ini bukan sahaja terdapat pada Jazz tetapi juga Civic pasaran Eropah.

7. MINI Convertible – Openometer – 9.4%

Fungsi meter ini untuk MINI yang boleh dibuka bumbung. Meter ini akan memberitahu pemandu berapa lama bumbung dibuka. Tidak pasti apakah faedah yang diperolehi oleh pemandu tetapi ianya satu yang menarik memandangkan bukan semua kereta boleh dibuka bumbung.

Proton Gen.2 mempunyai meter yang menunjukkan jarak perjalanan kereta selepas hentian terakhir.

8. Nissan – Cangkuk kari – 7.5%

Dari sini rupanya asal cangkuk teh tarik. Nissan mula memperkenalkan cangkuk kari pada Nissan Almera pada tahun 1996. Sekarang ini cangkuk kari atau teh tarik semakin banyak pada kereta-kereta moden. Ada yang diletakkan pada boot kereta. Habis nak sedut air bungkus macam mana?

9. Renault Modus Boot Chute – 4.1%

Ini kalau ruang parking terlalu sempit memang susah. Apa yang Renault buat ialah buka sikit sahaja pintu boot. Selesai masalah.

BACA: LSEV SHANGDONG QILU FENGDE P8 : APA PASAL NAMA PELIK SANGAT NI?

BACA: NAMA-NAMA PELIK KERETA DARI JEPUN

10. DS 3 – Bekas (Dispenser) semburan pewangi kereta – 2.6%

Nampaknya penyembur pewangi bukan sahaja untuk rumah atau pejabat. Dalam kereta pun boleh jadi tidak perlu susah-susah gantung pewangi atau lekat pada penyaman udara.

Kereta DS 3 mempunyai penyembur yang terbina dalam (built in). Untuk melaras semburan wangian terdapat tombol kecil pada papan pemuka supaya tidak mabuk disembur dengan pewangi.

Hebat juga kan?

11. Proton dan Perodua – (Bonus)

PERODUA AXIA – BERMULA RM24,600

Ini pula poin bonus yang kami cari sendiri. Kenderaan Proton dan Perodua sejak dari dulu memang banyak peralatan serbaguna. Proton Wira, Satria dan Putra misalnya ada slot bekas letak air di bawah corong udara. Bijak juga sebab air boleh sentiasa sejuk.

Kenderaan Perodua (Kembara) pula ada laci simpan kasut dan cangkuk beg tangan supaya tidak kena ragut. Lebih canggih apabila siap dengan slot untuk Smart Tag.

Satu lagi fungsi yang canggih untuk kenderaan Proton ialah sistem GPS yang siap dengan arah kiblat. Yang ini memang padu dan rasanya banyak pahala untuk penciptanya.

Google ads
Back to top button