Motosikal

YAMAHA TENERE 700 – JENTERA ADVENTURE UNTUK SEMUA

Pada acara EICMA 2018 baru-baru ini, Yamaha melancarkan model adventure terbaharunya, Yamaha Tenere 700.

Ramai yang beranggapan Tenere 700 mungkin menjadi salah sebuah motosikal adventure paling penting pada tahun depan.

Ini kerana ia menawarkan akses yang luas untuk lebih ramai penunggang, walaupun jentera itu tidaklah dilengkapi dengan banyak teknologi canggih.

Hanya seberat 205kg, ia hadir dengan rekaan yang lebih kompak berbanding pesaingnya seperti KTM 790 Adventure R.

Motosikal yang bermula dengan model konsep dikenali sebagai T7 itu menggunakan khidmat enjin sama pada MT-07. Enjin parallel-twin bersesaran 689cc yang dipasang pada chasis serba baharu itu mampu menjana kuasa 72hp dan tork 68Nm.

Yamaha menggunakan suspensi dengan spesifikasi rali bersama talaan travel fork 210mm dan 200mm untuk penyerap hentaknya.

Tenere 700 juga menggunakan dua saiz rim lidi berbeza iaitu 21 inci di depan dan 18 inci di belakang. Dengan tangki minyak 16 liter, jarak sejauh 350km mampu dicapai tanpa sebarang masalah.

Penampilan diserlahkan menerusi empat unit lampu LED yang bertindak sebagai lampu utama. Diletak di dalam satu perumah dengan skrin nipis, lampu LED dan meter LCD tersebut membuatkannya kelihatan seperti sebuah jentera di perlumbaan rali Dakar.

Tugas membrek diserahkan kepada brek ABS dengan cakera bersaiz 282mm pada roda hadapan yang boleh dinyahaktifkan.

Tenere 700 dijadual dilancarkan ke pasaran Eropah mulai tahun depan. Harganya tidak dinyatakan.

GALERI

Google ads
Back to top button