Peranti

REBIU: SAMSUNG GALAXY NOTE 9 – HARGA SEPADAN DENGAN PRESTASI?

Selepas terpaksa berdepan dengan masalah bateri pada model sebelum ini, Samsung nampaknya menebus kembali kepercayaan pengguna menerusi edisi terbaharu Samsung Note 9.

Selaku model flagship, maka tidak hairanlah jika Note 9 dilengkapi pelbagai ciri dan teknologi terbaik Samsung. Tidak keterlaluan juga jika saya katakan bahawa Note 9 ialah telefon terbaik daripada pengeluar Korea Selatan itu setakat ini.

Sebaik sahaja berada di dalam genggaman, sesiapa sahaja perlu mengakui bahawa ia sememangnya sebuah telefon pintar yang cantik, premium dan memiliki skrin besar.

Reka bentuk yang sedikit tirus membuatkannya selesa untuk dipegang. Cuma, material luarannya yang licin memerlukan sesiapa sahaja supaya lebih berhati-hati dan memastikan ia tidak terlepas daripada genggaman.

S Pen Stylus

Saya diberi peluang untuk mencuba Note 9 berwarna biru dengan S Pen Stylus berwarna kuning. Ini kali pertama Samsung menawarkan pen Stylus berwarna kontas dengan warna badannya.

Bagi mereka yang gemar mencatat nota, melukis atau sekadar menconteng, ciri ini pasti sangat dihargai. Lebih menarik lagi, S Pen Stylus bukan hanya boleh digunakan untuk menulis, malah ia menawarkan banyak fungsi lain.

Antaranya ialah sebagai alat kawalan jauh untuk merakam gambar, membuka aplikasi kamera, merekod video dan menukar kedudukan kamera dengan hanya perlu menekan butangnya.

Tidak cukup? Jika hendak membuat pembentangan, S Pen membolehkan anda mengawal  halaman fail PowerPoint, memainkan lagu dan melihat foto di dalam folder galeri. Semua itu dapat dilakukan kerana S Pen dikuasakan oleh ciri Bluetooth Low Energy di mana satu antena dipasang di dalamnya.

Untuk mengelakkan daripada hilang, Note akan memberi notifikasi jika S Pen tidak dimasukkan ke dalam ruangnya bagi tempoh yang lama.

Prestasi bateri

Aspek seterusnya yang membuatkan anda akan jatuh hati kepada Note 9 adalah prestasi yang mampu ditawarkannya.

Skrin bersaiz 6.4 inci, paparan Super AMOLED, kapasiti bateri 4,000mAh, pemproses Qualcomm Snapdragon 845, 8GB RAM dan storan 128GB atau 512GB (kalau tak cukup boleh tambah kad microSD) semestinya dapat memenuhi apa jua ekspektasi anda.

Saya sukakan kuasa bateri yang mampu bertahan selama lebih sehari tanpa masalah. Untuk mereka yang kurang gemar membawa powerbank bersama, tetapi sentiasa menggunakan telefon, kapasiti bateri sebegitu sememangnya memuaskan hati.

Satu lagi perkara yang harus saya beritahu ialah ketika menggunakan aplikasi Waze, Note 9 tidak panas seperti Samsung A7 yang saya gunakan sekarang.

Kamera AI

Bagi mereka yang gemar merakam gambar atau video, kualiti yang ditawarkan oleh Note 9 cukup memuaskan.

Tidak mahu mengalah pengeluar telefon pintar lain yang menawarkan ciri kamera AI (kepintaran buatan), Note 9 juga tidak terkecuali. Perisian AI berfungsi menganalisa persekitaran dan mengenal pasti apakah objek yang hendak dirakam.

Kamera kemudian mengoptimumkaan tetapan white balance, kontras dan sebaginya untuk membuatkan gambar lebih menyerlah.

Katakan anda merakam foto atau selfie, tetapi ada kawan yang menutup mata, bergerak atau dedahan cahaya belakang terlalu cerah, satu notifikasi supaya gambar diambil semula akan diberikan. Jadi, tiada lagi gambar yang kabur atau mata sedang tertutup.

Lensa kamera yang sebelum ini digunakan pada S9 berupaya menukar apertur secara automatik. Tidak perlu bimbang jika hendak merakam gambar di kawasan malap kerana hasilnya agak mengagumkan.

Bagi mereka yang suka bereksperimentasi, anda boleh merekod video dalam gerak perlahan menerusi ciri Super Slow Mo

Tidak murah 

Dengan semua ciri terbaik itu, sudah tentulah harganya tidak murah. Anda boleh memiliki sebuah Note 9 pada harga RM3,699 (128GB) dan RM4,599 (512GB). Jangan risau, sekarang Samsung Malaysia ada menawarkan rebat segera sebanyak RM400 kepada pelanggan.

Jika hendak ‘murah’ lagi, anda mungkin boleh mendapatkannya menerusi tawaran yang disediakan oleh penyedia telekomunikasi seperti Celcom, Digi, UMobile atau Maxis.

Pelanggan boleh memilih daripada empat warna yang disediakan iaitu hitam, tembaga, ungu dan biru. Saya secara peribadinya suka kepada warna biru yang hadir dengan  Pen Stylus berwarna kuning itu.

Apa pun, ini adalah sebahagian kecil apa yang boleh anda harapkan daripada sebuah Note 9. Ambil sedikit masa untuk meneroka semua kelebihannya, saya yakin inilah telefon pintar yang anda mahukan sebenarnya.

GALERI

Google ads
Back to top button