SEAT TARRACO FR 2020 – INILAH DIA MODEL KEMEGAHAN PEMBUAT DARI SEPANYOL
Jenama SEAT ini memang cukup asing di pendengaran halwa telinga orang kita. Barangkali kita cuma mengetahui tentang asal usul SEAT yang hanya berasal dari negara kelahiran Fernando Torres, Sepanyol. Sungguh pun demikian, SEAT ini bukanlah kecil anak, firma yang bernaung di bawah Kumpulan Volkswagen ini mempertaruhkan model SUV Kemegahan SEAT Tarraco versi 2020.
Model SEAT Tarraco ini sebenarnya telah pun dilancarkan pada tahun 2018. Terima kasih kepada pelantar daripada Kumpulan Volkswagen MQB-A2, yang mana model seperti Tiguan dan juga Kodiaq turut berasal daripadanya. Dan untuk tahun 2020, versi facelift telah diperkenalkan bagi membolehkan SEAT Tarraco ini mampu terus bersaing dalam arena per-MPV-an yang cukup sengit dewasa ini.
Oh ya, suka untuk Brader Karrager kongsikan tentang pemilihan, nama Tarraco ini. Ianya berasal dari nama Bandar Pelabuhan, Tarragona Punya Yini Worang. Ok tak kelakar. Tapi nama Tarragona tu memang merupakan lokasi sebuah Bandar Pelabuhan di Catalonia.
Model versi 2020 ini sebenarnya tidaklah terlalu berbeza dengan penampilannya pada tahun 2018 yang lalu. Cuma beberapa perubahan kecil seperti penggunaan rekaan gril dan juga bampar baharu bagi penampilan yang lebih sporty dan dinamik. Tapi penggunaan rim baharu bersaiz 19 inci berwarna gelap itu berjaya menambahkan lagi imej yang garang dan sporty.
Bahagian belakang SUV ini turut mengalami beberapa perubahan kecil seperti pemadanan tip berkembar untuk penampilan yang lebih sporty dan sedap mata memandang.
Memandangkan penampilan luaran SEAT Tarraco ini sudah kelihatan cukup sporty dan bergaya, maka penampilan rupa dalamnya juga harus seiring. Penggunaan tempat duduk jenis bucket dengan kemasan sulaman berwarna merah menaikkan lagi imej sporty yang ingin ditampilkan. Menariknya tempat duduk ini turut didatangkan dengan sistem kawalan suhu, senang nak adjust suhu kalau tiba – tiba panas pungkoq dek kerana kejahatan dunia. Heh! Sistem infohiburan bersaiz 9.2 inci turut didatangkan dengan fungsi kawalan suara. Tapi tak tahulah pula nak kena cakap Sepanyol ke apa kan. Fungsi eSIM juga tersedia untuk membolehkan sistem tersebut mendapat maklumat secara atas talian dan juga membolehkan penumpang melayari FB bagi mendapatkan berita terkini politik tanahair.
Bumbung panorama dari bahagian hadapan membawa ke penumpang belakang pun ada juga. Memang ngam betul kalau nak melihatkan awan biru di petang hari.
Manakala pilihan enjin 2.0 liter dengan pilihan kotak gear manual kelajuan atau kotak gear auto DSG tujuh kelajuan boleh dipilih pengguna. Selain daripada itu, enjin bersesaran 1.5 TSI turut ditawarkan kepada pengguna dengan enjin masing – masing mampu menghamburkan kuasa yang tidak jauh bezanya, kira kira 150 HP.
SEAT Tarraco ini sebenarnya turut menawarkan konfigurasi tujuh tempat duduk bagi memenuhi permintaan kecil segmen tujuh penumpang. Harga yang dijangka untuk model kemegahan ini adalah sekitar £31,680 (RM168,692).